MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman
yang ditemui di Klinik Kesihatan Bukit Payong di sini, amat terkejut
dengan kejadian yang menimpa bekas Adun Alur Limbat, Alias Abdullah, 51,
hari ini.
Bekas wakil rakyat BN itu, dikatakan ditembak dari jarak dekat oleh
individu yang tidak dikenali ketika berada di bahagian dapur rumah
mereka di Kampung Alur Limbat di Bukit Payong selepas solat Jumaat.
Pemimpin nombor satu negeri itu menyifatkan tindakan pembunuh terbabit
adalah amat kejam dan meminta pihak polis dapat menyiasat kes berkenaan
sehingga ke akar umbi.
Beliau juga berharap pihak berkuasa itu dapat mengenal pasti serta
membawa orang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan agar perkara
sedemikian tidak lagi berlaku di masa-masa akan datang khususnya di
negeri berkenaan.
“Kita negara Malaysia ini adalah sebuah negara yang selamat. Apa yang
berlaku ini adalah amat mengejutkan. Perkara ini, apa yang berlaku ini
amat mengejutkan dan kita amat terkilan. Insya ALLAH, pihak kerajaan
negeri akan memberi kerjasama.
“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan
untuk memastikan orang yang bertanggungjawab itu dapat dibawa ke muka
pengadilan,” katanya.
Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah &
Co dan dipilih sebagai Adun Alor Limbat sejak 2004 hingga 2008 itu
kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum beliau
disahkan meninggal dunia. - SH
No comments:
Post a Comment