KOTA BHARU - Pas menolak cadangan pembahagian kerusi yang dicadangkan
bekas rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, untuk pilihan raya
umum ke-14 (PRU14) nanti.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan
bertanding di seluruh negara, malah akan menambah jumlah kerusi yang
akan ditandinginya.
"Kita parti peringkat nasional dan kita bertanding di seluruh negara...
belum ada DAP kita dah bertanding (pada pilihan raya umum). Kita bukan
parti kenegerian dan parti perkauman," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Himpunan Fastaqim (Himpunan Kebangkitan) di Stadium Sultan
Muhammad ke-IV di sini, malam tadi.
Beliau mengulas mengenai cadangan DAP sebelum ini yang mengemukakan
formula pengagihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang bagi mengelak
pertandingan tiga penjuru yang hanya menguntungkan Barisan Nasional
(BN).
Pengerusi DAP Lim Kit Siang dipetik sebagai berkata satu-satunya cara
ialah Pas bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala
Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding di negeri lain yang
tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain.
Ditanya mengenai ancaman Amanah terhadap parti itu selepas kebanyakan
ahli Pas beralih arah kepada parti serpihan itu, Abdul Hadi yang juga
Ahli Parlimen Marang menganggap perkara berkenaan hanya perkara kecil.
"Kepada kita, Amanah ini tidak ada apa-apa cabaran yang besar kepada
Pas. Pas pernah menghadapi cabaran lebih besar daripada ini terutama
pada tahun 1978 yang menyebabkan rakyat Kelantan buat demonstrasi
sehingga menyebabkan kerajaan Kelantan jatuh.
"Namun demikian kita dapat melangsungkan perjuangan kita dengan cara
yang baik dan kita dapat meningkatkan bukan sahaja anggota parti, bahkan
meningkatkan pengurusan parti," katanya. - Bernama
Tok guru ni pekena pil kuda ka
ReplyDelete