Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan terhadap 1MDB
di beberapa negara, telah dibebaskan petang ini, tetapi ditangkap semula
oleh pihak polis.
Peguamnya, Matthias Chang memberitahu Malaysiakini
bahawa Khairuddin ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta
sekitar jam 4.40 petang ini.
"Apabila berjalan keluar dari
mahkamah selepas dibebaskan, dia terus ditangkap semula bagi kesalahan
di bawah Seksyen 124k dan 124L Kanun Keseksaan," katanya.
Isteri Khairuddin, Datin Umie Aida Rahmad pula dilaporkan kolum Seni sebagai berkata, gerak hatinya sudah menjangkakan pembebasan itu tidak lama.
Seksyen 124k dan 124L masing-masing mengenai sabotaj dan cuba untuk mensabotaj negara.
Di
bawah Sosma, Khairuddin boleh ditahan tanpa bicara sehingga 29 hari.
Beliau pada mulanya ditangkap kerana disyaki bertindak untuk
'menjatuhkan kerajaan.'
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis menganggap
tindakan Khairuddin menggunakan saluran perundangan asing untuk
mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu 1MDB
sebagai mensabotaj negara.
Chang
(gambar) percaya ianya sebab mengapa bekas timbalan ketua Umno bahagian
Batu Kawan itu dibebaskan selepas ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun
Keseksaan dan ditangkap semula di bawah seksyen yang berbeza.
Katanya, tuduhan sabotaj tidak dapat dibuat di bawah Seksyen 124C, dan sebab itulah mereka perlu menangkap Khairuddin semula.
Seksyen 124C adalah berkaitan dengan perbuatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Khairuddin
ditahan Jumaat lalu di rumahnya di Mont Kiara, beberapa jam selepas
mendapat tahu bahawa dia tidak boleh meninggalkan negara ini.
Beliau kemudiannya ditahan reman selama enam hari mulai hari Sabtu dan sepatutnya dibebaskan esok.
Penangkapan awal terhadapnya adalah berkaitan bukti mengenai skandal 1MDB yang diserahkannya kepada pihak berkuasa Switzerland.
Selain Switzerland, Khairuddin juga membuat laporan terhadap 1MDB di London, Hong Kong dan Singapura.
Beliau
juga dilapor dijadualkan untuk bertemu dengan Biro Penyiasatan
Persekutuan Amerika Syarikat, yang dilaporkan telah membuka siasatan
terhadap 1MDB.
Menurut laporan oleh New York Times, Jemaah Juri
Persekutuan AS juga menyiasat dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan mereka yang rapat
dengannya, termasuk anak tirinya Riza Aziz.
Najib telah berulang
kali menafikan menyalahgunakan dana 1MDB untuk kepentingan peribadinya
dan berikrar untuk menyelesaikan situasi hutang firma itu tidak lama
lagi.
Dalam menghadapi kritikan yang semakin meningkat terhadap
1MDB dan kepimpinan beliau, perdana menteri mempertahankan dirinya
dengan mendakwa terdapat konspirasi untuk menggulingkan beliau dan
kerajaannya. - Mkini
No comments:
Post a Comment