SHAH ALAM – Sekretariat Parlimen PKR akan berurusan dengan Pejabat Yang
Dipertua Dewan Rakyat dan peguam-peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
mendapatkan kebenaran bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu hadir pada
sidang Parlimen akan datang.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, Anwar wajar dibenarkan
untuk hadir ke Dewan Rakyat kerana beliau masih kekal sebagai Ahli
Permatang Pauh sehingga diputuskan Yang di-pertuan Agong kelak.
“Kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa kerusi Parlimen Permatang
Pauh tidak dikosongkan sehingga proses petisyen pengampunan diraja ini
selesai, sebagai Ketua Pembangkang, beliau patut dibenarkan untuk hadir
ke Dewan Rakyat untuk sidang Parlimen yang akan datang bermula 9 Mac
2015 ini.
“Oleh yang demikian, persoalan Ketua Pembangkang dan pilihan raya kecil juga tidak timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyatakan sokongan penuh terhadap
tindakan isteri dan anak-anak Anwar menghantar permohonan pengampunan
DiRaja kepada Yang Di-Pertuan Agung semalam.
“Mesyuarat mingguan Biro Politik PKR semalam telah menyatakan sokongan
penuh kepada (“royal pardon”) yang dibuat oleh keluarga beliau di atas
ketidakadilan ketara (“gross miscarriage of justice”) yang telah berlaku
terhadap beliau.
“Pihak kami juga memahami bahawa itu adalah keputusan peribadi
keluarganya yang perlu dipisahkan dari pertimbangan politik atas dasar
kasih sayang anak-anak dan isteri kepada seorang bapa dan suami,”
katanya lagi. - SH
No comments:
Post a Comment