NILAI - Syarikat pemaju hartanah Mega 9 Housing Sdn Bhd hari ini
menawarkan sagu hati RM200,000 kepada orang ramai yang memberikan
maklumat tepat berhubung kejadian tembak di pejabat urusannya di Mantin,
di sini Rabu lalu.
Dalam kenyataannya, syarikat itu memberitahu bahawa sesiapa yang
mempunyai maklumat itu boleh menghubungi Balai Polis Daerah Mantin untuk
dikongsikan dengan pihak polis yang menjalankan siasatan.
Dalam kejadian pada 27 November lalu, beberapa das tembakan dilepaskan
ke pejabat urusan pemaju hartanah terbabit yang terletak di Taman Bunga
Raya, Mantin, di sini oleh individu tidak dikenali menyebabkan pintu
kaca pecah dan dinding premis itu retak.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai Supt Yusoff Awang berkata
pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, dan berharap
dengan penawaran sagu hati oleh pemaju terbabit, orang ramai yang
mempunyai maklumat akan tampil membantu siasatan.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu yang melepaskan
tembakan itu dan motifnya dan kita (polis) tidak menolak ia mungkin
dilakukan atau diupah oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan
syarikat tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Mega 9 Housing Sdn Bhd yang membangunkan sebidang tanah di
Kampung Hakka, di sini terlibat dengan kontroversi apabila beberapa
penduduk enggan berpindah kerana membantah pengambilan tanah di kawasan
itu.
Kes berkenaan kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban yang
memerintahkan semua penduduk berpindah dengan diberikan pampasan bagi
membolehkan kerja meroboh dan pembangunan dijalankan.
Bagaimana pun terdapat segelintir penduduk enggan berpindah kerana
tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment