Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar) telah dilantik sebagai
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak sebelum
Pilihan Raya 2013, menurut seorang ahli Perkasa kepada The Malaysian
Insider.
Beliau bagaimanapun tidak pasti tarikh sebenar berhubung pelantikan Ibrahim.
"Tak silap saya sebelum PRU. Tapi saya tak ingat tarikh sebenar," katanya ketika dihubungi.
Semakan The Malaysian Insider di laman portal rasmi institusi
pendidikan tinggi berkenaan turut menemui nama Ibrahim dalam ruangan
Ahli Lembaga Pengarah.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu merupakan alumni UiTM dan pernah
menuntut di universiti untuk pelajar Bumiputera berkenaan antara tahun
1971 hingga 1974.
Sebelum ini pada 2011, timbul isu berkenaan Anugerah Ibrahim Ali oleh
UiTM melalui Institut Kepimpinan Melayu (Impak) yang menawarkan RM5,000
kepada penerimanya.
Pada 19 November lalu, pemimpin lantang yang memperjuangkan hak
istimewa Melayu itu telah dipenjara selama sehari dan didenda RM20,000
oleh Mahkamah Tinggi kerana menghina mahkamah berhubung artikel
berkaitan seorang hakim yang mendengar kes saman Datuk Seri Anwar
Ibrahim terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Hukuman itu dibuat hakim Datuk John Louis O'Hara dan Ibrahim ditahan di
Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebelum dibebaskan selepas jam 5 petang.
Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan pelantikan berkenaan apabila dihubungi The Malaysian Insider.
"Saya memberi jaminan kes (Ibrahim dipenjara sehari) tidak memberi
sebarang masalah terhadap jawatan itu," kata sumber yang enggan
mendedahkan identitinya itu. – 27 November, 2013.
No comments:
Post a Comment