IPOH 8 Okt. - Seorang perogol bersiri yang dihadapkan ke Mahkamah
Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol,
melakukan seks luar tabii dan cuba rogol, merayu dibebaskan dengan
jaminan kerana sudah tidak sanggup lagi berada dalam lokap.
Sambil memandang seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan
yang didakwa isterinya, tertuduh, Malek Ridzuan Asroll, 27, (gambar) menyatakan, dia akan memohon bantuan adiknya untuk menjaminnya keluar.
''Saya memohon supaya dibenarkan untuk diikat jamin. Saya sudah tidak sanggup lagi tinggal di sini (penjara).
''Isteri saya juga sedang mengandung dan akan bersalin tidak lama
lagi,'' katanya sebaik sahaja Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah
Kamaludin memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.
Jelas Norhafizah, selain pertuduhan rogol dan cuba melakukan
persetubuhan luar tabii di mahkamah itu, tertuduh turut menghadapi tiga
pertuduhan lain iaitu dua cubaan rogol dan satu pertuduhan melakukan
seks luar tabii di dua buah mahkamah sesyen lain.
''Pegawai penyiasat memaklumkan tertuduh merupakan perogol bersiri.
Selain tuduhan berkenaan, dia juga akan didakwa di Mahkamah Majistret
Batu Gajah dan Kampar atas empat lagi pertuduhan iaitu melibatkan
kesalahan menyamar polis, mencuri telefon bimbit serta melakukan ugutan
terhadap mangsa.
''Lagipun tertuduh tidak mempunyai sebarang pengenalan diri serta
surat beranak. Mohon jaminan tidak dibenarkan,'' ujar Norhafizah.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.
Keputusan sama turut dibuat oleh Hakim Madihah Harullah sementara
Hakim Noor Hayati Mat membenarkan Malek Ridzuan dibebaskan dengan
jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 12 dan 15 November ini untuk sebutan semula semua kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba merogol seorang pekerja
kedai kasut berusia 15 tahun kira-kira pukul 9.50 malam, 11 September
lalu di tepi Jalan Tanah Adat Mandailing di belakang Kelab Clearwater
Sanctuary dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua pula, Malek Ridzuan didakwa cuba melakukan
persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13
tahun di antara pukul 10 pagi dan 10.05 pagi, 21 September lalu di
ladang ternakan itik, Taman Alam Kinta, Kota Bahru di sini.
Dia juga didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap
seorang pelajar tingkatan lima kira-kira pukul 9.25 pagi dan 10.15 pagi,
25 September lalu, juga di Tanah Adat Mandailing di sini.
Pada 29 September lalu pula, dia didakwa cuba merogol seorang wanita
berusia 30 tahun di kawasan hutan sebelah Taman Burung di Kampung Pisang
dekat sini.
Semua pertuduhan tersebut di kemukakan oleh Norhafizah dan dua lagi
Timbalan Pendakwa Raya, Yasser Mohd. Nasir serta Siti Nora Sharif
mengikut Seksyen 376, Seksyen 377(c) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Sementara di Mahkamah Majistret Batu Gajah, Malek Ridzuan turut
mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu menyamar sebagai anggota
polis dan mencuri telefon milik mangsa berusia 30 tahun itu di tempat
sama kira-kira pukul 9 malam, 29 September lalu. - Utusan