PULAU PINANG 10 Okt. - Seorang pegawai polis
wanita berpangkat Asisten Supritendan (ASP) direman bagi membantu
siasatan kes seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah
Sesyen di sini semalam.
Mahkamah membenarkan pegawai wanita berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pegawai
polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana
membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap
penangkapan yang sah di sisi undang-undang yang kedua-duanya membawa
hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, pegawai berusia 55 tahun itu juga disiasat di bawah
Seksyen 225A kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga
tahun dan denda atau kedua-duanya sekali kerana meninggalkan atau
membiarkan tahanan lari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, tahanan terbabit, K.
Prabaharan, 45, yang terlibat dalam kes penipuan dan digelar 'Doktor
Kasanova' melarikan diri ketika berada di mahkamah selepas dibawa dari
Mahkamah Cameron Highlands.
Suspek dikatakan melarikan diri dalam keadaan tangan masih bergari
semasa pegawai terbabit mengarahkan anggota pengiring keluar makan dan
meninggalkan lelaki berkenaan di dalam biliknya.
Menurut Abdul Rahim, Prabaharan yang menghadapi tuduhan di bawah
Seksyen 420 Kanun Keseksaan sepatutnya dihantar ke Penjara Reman Pulau
Pinang selepas habis sebutan akhir kesnya di Cameron Highlands kelmarin.
"Dalam perjalanan ke penjara, seorang pegawai mahkamah di Pulau
Pinang menghubungi polis pengiring dan meminta agar suspek dihantar ke
pejabatnya namun suspek bertindak melarikan diri ketika berada di
pejabat pegawai tersebut.
"Ketika melarikan diri suspek memakai kemeja T tanpa kolar berwarna ungu dan berseluar pendek merah," jelasnya.
Katanya, suspek masih menghadapi empat pertuduhan di daerah Timur
Laut, masing-masing dua pertuduhan di Barat Daya, Seberang Perai Tengah
dan Seberang Perai Selatan serta satu kes di Cameron Highlands.
Selain itu, Prabaharan yang beralamat terakhir di Taman Mas, Ipoh,
Perak juga amat dikehendaki polis di Segamat, Sungai Petani dan Taiping
kerana kesalahan di bawah seksyen sama.
Polis kini menjalankan Op Tutup untuk mengesan suspek yang dipercayai
masih berada di Pulau Pinang dengan bantuan semua Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD).
Prabaharan ditahan 4 Januari lalu di rumah sewanya di Bukit Gambir di
sini, setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova
yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman-laman web sosial dan
mengaut lebih RM500,000 sejak 2001.
Dia juga dikatakan menyamar sebagai doktor bagi memperdayakan kesemua
wanita berkenaan dengan pelbagai janji manis termasuk untuk mengahwini
mangsa. - Utusan