PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
menjemput Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran untuk menyertai
operasi anggota polis untuk menembak penjenayah.
Khalid membuat jemputan tersebut di Twitter pada 11 Oktober dengan
menyediakan baju kalis peluru untuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR) itu jika beliau menerima tawaran berkenaan.
"Untuk memberitahu apa yang terjadi ketika polis berhadapan dengan
penjenayah dalam operasi yang dijalankan, kami menawarkan YB Surendran
untuk menyertai kami," tweet Khalid.
Ketika dihubungi Star Online, Surendran berkata beliau telah
memberi maklum balas kepada Khalid melalui Twitternya dan menerima
jemputan ketua polis negara berkenaan.
Beliau berkata Khalid memberitahu dia perlu menandatangani perjanjian
perlindungan sambil menambah dia akan dijemput untuk menyertai satu
operasi membanteras penjenayah bersenjata akan datang.
Khalid juga meminta Surendran menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah bila beliau bersedia untuk menandatangani perjanjian
perlindungan dan mengukur saiz yang sesuai untuk baju kalis peluru.
Surendran bagaimanapun berkata beliau belum lagi menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah berkenaan.
Beliau berkata dia sedia berhadapan dengan sebarang risiko sama seperti pegawai polis yang terlatih.
"Jangan tembak untuk membunuh dan jangan tembak tanpa memberi sebarang amaran," tambahnya. - Mstar