Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memang
ditubuhkan bagi membantu ahli Umno kata Ketua Pengarah Eksekutif (CEO)
Datuk Abdul Rahim Hassan.
Ini kerana menurutnya, Tekun merupakan hasil usaha Umno bagi
memperkasakan ekonomi kaum Melayu dalam parti itu. Bagaimana pun beliau
menafikan Tekun menolak seratus-peratus permohonan mereka yang bukan
dari Umno.
"Pembangkang selalu kata (Tekun) hanya memberi pinjaman kepada ahlinya,
kami punyai hak untuk mempertahankannya kerana ia merupakan idea yang
diasaskan parti.
"Namun tidak bermakna kita langsung mengendahkan permohonan lain
asalkan mereka kaum Bumiputera kami terima tapi kepentingan sudah tentu
kepada ahli Umno," katanya dalam sidang media bagi Program Kerjasama
Strategi Tekun Nasional & Sohonista di Kuala Lumpur hari ini.
Kata Rahim, Tekun ditubuhkan semasa Konvesyen Umno Pulau Pinang pada tahun 1994.
"Kerana itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu menekankan
perkembangan dan beliau sendiri berkata Tekun merupakan anak kandung
Umno," katanya.
Dana tambahan RM700 juta merupakan antara salah satu dalam Agenda
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Najib baru-baru
ini.
Tekun akan menerima dana tersebut bermula tahun depan dan ia akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.
"Kita tidak dapat sekaligus ia secara berperingkat tapi memang setiap
tahun kita menerima RM300 juta dan RM300 juta merupakan bayaran balik
daripada peminjam yang kita terima.
"Tambahan dana itu adalah kerana seruan perdana menteri yang mahukan
kita meningkatkan pinjaman sehingga ke RM100,000, jadi inilah wadah
perjuangan Tekun iaitu membantu kaum Bumiputera tanpa mementingkan
keuntungan," katanya lagi.
Beliau berkata Tekun juga mengalakkan permohonan pinjaman dari usahawan
muda dikalangan siswazah yang baru menamatkan pelajaran.
"Golongan muda antara yang perlu diberi perhatian, terutama
perkembangan trend sekarang ramai usahawan terdiri daripada lepasan
siswazah dilihat lebih suka menjalankan perniagaan sendiri.
"Kerana itu kita beri ruang kepada mereka untuk berniaga dengan program
seperti Sohonista ini supaya mereka kemudiannya tidak menentang
kerajaan akibat kegagalan kerajaan yang tidak mampu menawarkan peluang
pekerjaan kepada semua lepasan mahasiswa dan inilah peranan Tekun,"
katanya. – 7 Oktober, 2013.
Umno-BN tak bawa Malaysia ke negara maju.