Empat lelaki asing yang dipercayai anggota 'Geng Ah Fatt' ditembak mati
di rumah pangsa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang, dekat
ibunegara selepas menyamun rumah milik orang kenamaan di Bukit
Antarabangsa, Hulu Kelang awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala
Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis melakukan serbuan di rumah
pangsa Jalan Ampang Putra itu pada pukul 12.20 tengah hari selepas
menerima maklumat orang awam.
Ketika menyerbu rumah pangsa itu, beliau berkata penjenayah menembak ke arah polis sebelum polis bertindak balas.
"Polis
menemui sepucuk pistol (di tempat kejadian) dipercayai jenis Revolver
dan parang yang digunakan kesemua lelaki itu yang berumur lingkungan 30
hingga 40 tahun.
"Pada masa yang sama, polis juga menemui
barang kemas dipercayai hasil samun di rumah di Bukit Antarabangsa yang
dilakukan pada kira-kira 3 pagi tadi," katanya kepada pemberita di
lokasi kejadian.
Susulan serbuan itu, beliau berkata polis
menangkap seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai baru
selesai membeli barang kemas samun itu di rumah pangsa berkenaan.
Mohmad
berkata rumah pangsa itu juga dipercayai didiami seorang daripada
penjenayah itu dan keluarganya selain ia dijadikan transit anggota
kumpulan berkenaani untuk melakukan jenayah sebelum melarikan diri ke
Batam, Indonesia.
Beliau berkata siasatan polis mendapati kumpulan itu aktif melakukan samun rumah VVIP di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain.
"Polis sedang mengumpul laporan yang dibuat pengadu berkaitan kumpulan yang dianggotai enam orang ini.
"Sebelum ini, mereka melakukan kes sama di rumah seorang VVIP di Kuala Lumpur dan menyamun tiga pucuk pistol," katanya.
Polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan itu.
- Bernama