Kementerian Pelajaran menerima laporan terdapat empat sekolah yang tidak
menyerahkan bantuan khas awal persekolahan kepada pelajar, kata
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata
keempat-empat sekolah di semenanjung itu berbuat demikian bagi
menggunakan wang itu untuk yuran aktiviti di bawah Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG).
"Sebaik menerima laporan itu, sekolah berkenaan
dengan serta merta diarah menghentikan tindakan itu dan mengembalikan
wang bantuan kepada ibu bapa pelajar.
"Kami mahu bantuan itu
sampai kepada ibu bapa dan menggunakannya untuk pendidikan anak mereka,"
katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina
Bangunan Asrama sekolah itu di Paitan, semalam.
Beliau berkata
kementerian sempat menghentikan tindakan dua daripada sekolah itu yang
mengeluarkan surat untuk mendapatkan persetujuan ibu bapa menggunakan
wang bantuan itu bagi bayaran yuran PIBG manakala dua lagi sekolah
diminta mengembalikan wang itu kepada ibu bapa.
Sehubungan itu,
beliau meminta ibu bapa melaporkan kepada kementerian jika ada sekolah
tidak menyerah atau memotong jumlah wang bantuan yang sepatutnya diberi
kepada mereka - Bernama / Mkini