Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata beliau berasa
seolah-olah dizalimi apabila mursyidul am parti, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat menganggap kedudukannya sebagai ahli PAS turut terlucut
sepertimana jawatannya dalam Majlis Syura Ulama.
Dalam wawancara yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia hari ini, Nasharudin berkata kenyataan Nik Aziz itu juga keterlaluan kerana didakwa "mengiaskan saya seolah-olah telah murtad".
"Saya
merasakan seperti dizalimi dalam konteks itu di mana kiasan yang dibuat
terhadap perkara tersebut dilihat saya agak keterlaluan dengan
mengiaskan saya seolah telah murtad, dan mengkiaskan saya dengan isu
penceraian dan sebagainya.
"Sedangkan sekali lagi saya masih
belum menerima hitam putih kedudukan sebagai ahli PAS," katanya dalam
wawancara dengan akhbar milik Umno itu.
Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz kelmarin yang berkata isu surat rasmi itu tidak timbul kerana "lafaz cerai" sudah dilakukan.
"Lafaz
cerai sudah dibuat, kalau surat cerai tak sampai pun ia tetap dah
cerai... surat tak sampai tu soal nombor dua," kata Nik Aziz seperti
dipetik dalam laporan Sinar Harian semalam.
Mangulas
lanjut, Nasharudin berkata beliau berhak diberikan surat pemecatan
memandangkan PAS sebelum ini memberi surat pelantikan ke jawatankuasa
tersebut.
"Sangat tidak adil kerana saya hanya mengetahui perkara tersebut melalui media ketika baru pulang dari Dubai.
"Media
ini bukan merupakan medium rasmi untuk kita menyampaikan perkara
tersebut," katanya yang akur dengan keputusan pelucutan jawatan
berkenaan.
Beliau yang kini merupakan ahli biasa PAS turut mengulas mengenai peluangnya untuk bertanding dalam pemilihan parti akan datang.
"Bagi
saya kalau ada usaha untuk menyekat saya untuk bertanding dalam apa-apa
jawatan dalam parti, itu bukan hak individu untuk menyekat saya.
"Tetapi
terpulang kepada ahli dan kawasan sebab dalam PAS ini semangat syura
itu bukan sahaja ada dalam Majlis Syura Ulama tetapi semangat itu juga
ada dihidupkan dalam kalangan ahli di peringkat bawahan," katanya. - Mkini
Tak ingat masa dia zalimi parti sendiri.