Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan
peruntukan RM3.5 juta untuk mengecat semula bangunan rumah pangsa di
kawasan Parlimen Pandan di Selangor.
"Saya janji meluluskan dan
menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk mengecat flat-flat di
sini dan ia boleh dimulakan tidak lama lagi.
"Kita (Barisan
Nasional) buktikan bahawa rakyat mesti didahulukan dan ini baru sedikit,
banyak lagi akan dinikmati sekiranya Selangor kembali kepada kerajaan
BN," katanya dalam ucapan ringkas ketika melawat penduduk Flat Pandan
Jaya.
Dalam
majlis itu, Najib turut beramah mesra dengan kira-kira 200 penduduk
setempat selain turut mengecat sedikit flat berkenaan sebagai simbolik
penyaluran peruntukan tersebut.
Najib berkata beliau difahamkan
bahawa pakatan pembangkang berjanji untuk mengecat bangunan-bangunan
tersebut sejak mengambil alih negeri itu tetapi tidak menepati janji
mereka.
"Justeru hari ini saya datang ke sini atas permintaan Ahli
Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat untuk melihat sendiri dan
kemudiannya meluluskan dana kerajaan tersebut," katanya.
Sementara
itu, Ong yang menyambut baik pengumuman itu berkata 58 rumah pangsa kos
rendah dan sederhana rendah akan dicat semula menggunakan peruntukan
itu.
Katanya, ia termasuk 32 blok flat atau rumah pangsa kos
rendah dan 22 blok kos sederhana rendah di Pandan Jaya serta empat blok
Pangsapuri Inai, Pandan Indah, dan ia akan memberi manfaat kepada
kira-kira 2,300 penduduk.
"Projek mengecat semula di Pandan Jaya
ini dibuat atas permintaan rakyat kerana mereka berasa terkilan dan
dukacita kerana janji kerajaan negeri Selangor untuk mengecat semula
flat masih belum tertunai malah ada yang dicat sedikit kemudian
ditinggalkan.
"Kerajaan BN sendiri sebelum ini telah mengecat
sebanyak 16 blok flat di Pandan Jaya Fasa 2 selepas menerima permintaan
penduduk," katanya.
Perdana menteri kemudiannya melancarkan Pusat
Daerah Mengundi di Kampung Melayu Ampang sebelum menunaikan solat Zohor
bersama penduduk di Masjid Jamil Huda yang terletak bersebelahan.
Najib turut menandatangan buku pelawat masjid dan makan bersama jemaah secara bersila. - Bernama
Terus kekalkan PR perintah Selangor. Duit rakyat tidak dirompak, dapat pula kediaman dicat.