Jabatan Penjara Malaysia buat pertama kali melaksanakan pelepasan
banduan secara berlesen selama tujuh hari bertujuan pemulihan banduan
melalui penglibatan keluarga.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata seramai tujuh banduan dilepas secara
berlesen di seluruh negara dan mereka akan dibawa oleh keluarga mereka
untuk meluangkan masa di rumah selama tujuh hari mulai semalam.
"Pelepasan
diberi atas alasan seperti merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari
peluang pekerjaan, perancangan masa depan dan lain-lain perkara yang
difikir wajar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perjumpaan
1Malaysia penghuni dan keluarga Penjara sempena sambutan perayaan Tahun
Baharu Cina, di Penjara Kajang, dekat sini hari ini.
Beliau
berkata pelepasan berlesen itu, yang pertama kali diberikan penjara
mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995, adalah satu keistimewaan hanya
untuk banduan yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Antara
syarat yang ditetapkan ialah banduan itu telah menjalani hukuman tidak
kurang dari empat tahun, mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun
dan tidak kurang dari dua bulan serta berada dalam peringkat empat dan
ke atas.
"Jika seorang ingkar pada pematuhan syarat, kami akan tarik balik pelepasan berlesan ini," katanya.
Mengenai
Perjumpaan 1Malaysia, Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar
dalam ucapannya berkata seramai 2,894 anggota keluarga dan 658 penghuni
terlibat dalam program itu yang dijalankan serentak di seluruh negara.
Seorang
banduan yang mendapat pelepasan berlesen dan hanya mahu dikenali
sebagai Lau, 44, menyifatkan pemberian itu adalah satu rahmat kepadanya
untuk bertemu anak perempuan dan cucu lelakinya setelah 12 tahun
dikurung dalam tirai besi.
Dipenjarakan selama 13 tahun
kerana memiliki dadah pada 2001, Lau yang pertama kali dapat bertemu
dengan cucu lelaki berusia setahun, berkata: "Ini sambutan Tahun Baharu
Cina yang pertama saya sambut dengan keluarga dan mereka
gembira datang menjemput saya pulang ke Johor".
Seorang
lagi banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 64, berkata
beliau amat gembira melihat anak dan isterinya datang hari ini.
Bekas
penjawat awam itu menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun kerana
memalsukan dokumen mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan pada 2008.
"Saya
bersyukur. Dalam tempoh tujuh hari ini saya hanya ingin duduk di rumah
bersama keluarga dan berkongsi cerita. Tidak sabar untuk balik rumah
saya di Kajang ini," katanya.
- Bernama