Amaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai demonstrasi
ala "Arab Spring" di Malaysia perlu diambil serius berikutan obsesi
beliau untuk menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menyatakan
beliau tahu akan kapasiti Anwar untuk melakukan huru-hara, bekas
Perdana Menteri berkata Anwar telah membuktikan dirinya sebagai "juara"
demonstrasi di masa lalu.
Dr Mahathir berkata semasa beliau
menjadi menteri pelajaran pada 1974, Anwar telah menganjurkan
demonstrasi pelajar mendakwa kebuluran telah menyebabkan kematian
seorang budak lelaki di Baling, Kedah; tetapi tiada demonstrasi serius
selama 16 tahun apabila ketua umum PKR itu menyertai kerajaan.
"Sebaik
sahaja beliau keluar daripada kerajaan, terdapat demonstrasi setiap
minggu. Obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri akan mendorong
beliau mewujudkan "Arab Spring" supaya cita-citanya menjadi kenyataan.
"Bagi
dirinya, beliau tidak peduli sekiranya kestabilan dan ekonomi negara
terjejas teruk asalkan beliau dapat menjadi perdana menteri," kata Dr
Mahathir dalam entri terbaru dalam blog beliau bertajuk 'Janji Anwar' di
www.chedet.cc semalam.
Entri terbaru itu ditulis sebagai
respons kepada janji Anwar untuk mengatur "Arab Spring" di Malaysia
seperti dilaporkan di Australia.
Dr Mahathir berkata Anwar
akan menganjurkan demonstrasi melibatkan ratusan ribu orang -
sepertimana dilakukannya pada demonstrasi 'BERSIH' - bagi menjatuhkan
kerajaan sekiranya beliau kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Dr
Mahathir berkata Anwar telah menganjurkan demonstrasi setiap Sabtu
apabila beliau dipecat daripada jawatannya sebagai timbalan perdana
menteri yang telah menjejaskan perniagaan di Kuala Lumpur berikutan
orang ramai mengelak daripada pergi ke ibu kota.
"Anwar tahu
akan impak teruk daripada demonstrasi besar-besaran yang beliau anjurkan
itu terhadap ekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia mungkin dapat didesak
untuk mengundi partinya bagi mengelakkan ekonomi mereka terjejas oleh
demonstrasi.
"Adalah amat menyedihkan bagi Malaysia jika ugutan sebegini dibuat untuk memenangi pilihan raya," katanya. - Bernama
Dia pula guna ugutan 13 Mei.