GEORGETOWN - Polis mengesahkan semua Bible yang dirampas dicetak dalam
Bahasa Inggeris dan tidak mengandungi kalimah ALLAH seperti yang
didakwa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, setakat
ini, lima naskah Bible diserahkan kepada polis dan langsung tidak
mengandungi kalimah ALLAH atau sebarang terjemahan Bahasa Melayu atau
Jawi.
Beliau berkata, tujuh laporan polis diterima dalam kes ini iaitu empat
laporan daripada pelajar sekolah yang berusia lingkungan 16 hingga 19
tahun dan selebihnya daripada orang awam.
“Sebanyak 17 rakaman percakapan dibuat bagi membantu siasatan. Siasatan
awal mendapati, Bible itu ditulis dalam Bahasa Inggeris dan tiada
kalimah ALLAH,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, lima naskah Bible itu bersaiz poket, berwarna biru dan mengandungi 633 muka surat.
“Di muka depan tertulis ‘New Testament Psalms Proverb’. Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Hari ini (semalam), beberapa arahan lanjut diterima untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 298A Kanun
Keseksaan iaitu perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan harmoni dan
perpaduan, rasa tidak puas hati, prejudis berdasarkan agama.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang remaja terkejut apabila melihat dua
lelaki berkelakuan mencurigakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan
Jelutong sambil mengedarkan buku kecil kepada pelajar sekolah berkenaan.
Sehubungan itu, remaja terbabit membuat laporan di Balai Polis Jelutong.
Abdul Rahim berkata, berdasarkan maklumat daripada pengadu, kegiatan itu dilakukan tiga lelaki dan seorang wanita Cina. - SH