SUBANG – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan memberi
maklum balas berkenaan dengan cabaran Timbalan Pengerusi Barisan
Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang memberi tempoh seminggu
kepadanya agar mendedahkan kedudukan kewangan terperinci Universiti
Selangor (Unisel).
Menurut Menteri Besar Selangor, maklumat-maklumat yang diperoleh oleh Noh mengenai Unisel hanya khabar angin semata-mata.
“Beliau (Noh Omar) harus belajar perakaunan daripada saya kerana
kebanyakan yang diketahui mengenai Unisel hanya khabar angin sahaja,”
kata beliau mengulas cabaran Noh di sini, hari ini.
Terlebih dahulu Noh mencabar dan memberi tempoh seminggu kepada Menteri
Besar untuk mendedahkan kedudukan kewangan terperinci Unisel.
Beliau berkata pendedahan laporan terperinci mengenai kedudukan
kewangan universiti milik kerajaan negeri itu termasuk jumlah tunai dan
hutang terkini, perlu dilakukan bagi menangkis dakwaan bahawa Unisel
sedang menanggung kerugian.
"Saya mempunyai laporan akaun terkini Unisel dan menunjukkan ia berada
dalam keadaan nazak dan saya tidak akan cakap kalau saya tidak ada
bukti," katanya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, sejak parti
pakatan pembangkang mengambil alih, Unisel menghadapi pelbagai isu
termasuk pertukaran Naib Canselor dan peletakan jawatan beberapa
individu dan digantikan dengan pemimpin pembangkang daripada Pas dan
PKR.
Beliau berkata, kerajaan Selangor meletakkan tiga wakil politik dalam
pentadbiran Unisel iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Hussin,
Ahli Parlimen Merbok Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat Che
Rosli Che Mat sebagai anggota Lembaga Pengarah universiti itu.
Dalam ulasannya, Khalid juga berkata, tindakan meletakkan wakil
Kerajaan Negeri dalam Unisel tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia
amalan biasa kebanyakan universiti dalam negara.
Abdul Khalid berkata, kebanyakan universiti di negara ini mempunyai
wakil daripada pihak kerajaan termasuk beliau sebagai wakil kerajaan
dalam universiti milik Kerajaan Selangor itu.
Menurutnya, kebiasaan Pengerusi Unisel adalah daripada kerajaan negeri
Selangor dan pihaknya memilih orang-orang berkelayakan untuk mengisi
jawatan Ahli Lembaga Pengarah universiti itu.
“Misalnya saya memilih Dr Che Rosli Che Mat, meskipun dia Ahli
Parlimen Hulu Langat, namun beliau mempunyai kelulusan dalam Fizik yang
dapat membantu membina pusat Atom, kalau itu kita bangkang dalam
pemilihan, maknanya kita tidak pilih orang yang baik.
“Kalau Noh Omar ada orang yang setaraf dengan Che Rosli, beliau boleh
cadangkan kepada saya, kerana pemilihan penting bagi memberi nama baik
kepada negeri Selangor,” kata beliau yang turut mengulas kenyataan Noh
yang mendakwa Abdul Khalid rakus mempolitikkan pentadbiran Unisel
apabila melantik ketiga-tiga mereka.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, beliau sebelum ini pernah
memegang jawatan Pengerusi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan
menjelaskan pemilihannya bukan disebabkan kepentingan politik tetapi
kerana faktor keupayaan dari segi mentadbir syarikat korporat.
Katanya, yang penting adalah bagaimana universiti itu dijaga dan
dakwaan dibangkitkan dianggap terlalu kecil serta tidak memberi tambah
nilai ke atas kritikan itu. - SH
No comments:
Post a Comment