SHAH ALAM – Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk
Ayub Rahmat yang mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hudud
disambut baik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno
(Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya.
Menurutnya, dalam isu ini, Umno ada kelebihan besar kerana perlembagaan
parti jelas menyebut 'berjuang mempertahankan agama, bangsa dan
negara'.
Oleh itu, cadangan seperti itu perlu disokong oleh semua umat Islam.
Katanya, apa yang paling penting sekarang adalah Umno Johor tidak perlu
gopoh untuk melaksanakan cadangan yang sebaik itu kerana dikhuatiri
terhenti di separuh jalan sahaja.
“Pertama sekali, apa sahaja kebaikan yang muncul, tidak kira daripada
Umno, Pas atau sesiapa sahaja, saya akan sokong demi Islam. Saya juga
bersedia bekerjasama bagi beri pandangan dalam isu ini, sekiranya
diperlukan.
“Saya juga tidak mahu hukum hudud ini nanti dilabelkan sebagai ‘hudud
Umno’ atau ‘hudud Pas’. Apa yang paling penting hudud ini disusun dan
dilaksanakan demi menarik kembali umat kepada Islam,” katanya kepada
Sinar Harian, semalam.
Khamis lalu, Adun Kemelah dari Umno membangkitkan cadangan tersebut
ketika Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor
Ke-12.
Memetik kenyataan Ayub dalam satu portal berita, beliau berkata, mahu
melihat Johor mendahului negeri lain dengan laksanakan hudud sebenar,
yang didakwanya berbeza dengan hudud Pas.
Perbezaan paling ketara, kata Ayub, hukum hudud sebenar meliputi semua
kaum berbanding hudud Pas yang hanya tertakluk kepada orang Islam.
Selain itu, Fathul Bari mahu semua pihak melihat keseluruhan aspek dan
menghimpunkan pakar-pakar terlebih dahulu bagi memberikan pandangan
supaya hukum ini benar-benar
dapat dilaksanakan.
“Kita perlu himpunkan individu yang mempunyai kuasa dalam pentadbiran,
mufti-mufti, ulama-ulama, pakar-pakar perundangan, pakar perlembagaan,
penguat kuasa di semua peringkat dan intelektual-intelektual yang bebas,
iaitu datang atas kapasiti isu ini.
“Selain itu, perlu dihimpunkan juga raja-raja Melayu sebagai ketua
Islam di negara ini dan wakil-wakil negara yang telah melaksanakannya.
Jika mereka ini dapat dikumpulkan, Insya-Allah kita boleh bergerak ke
depan lagi,” katanya. - SH
* Perintah Allah pun nak tunggu persetujuan ramai baru nak laksana...
No comments:
Post a Comment