ALOR GAJAH 4 Julai - Seorang ahli perniagaan dan
seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di
sini hari ini atas tuduhan menyamar dan memakai pakaian anggota tentera
baru-baru ini.
Lionel Albert Goonting, 37, dan Alison Felix De Silva, 39,
masing-masing didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memakai
pakaian tentera laut dan tentera darat ketika mengetahui bahawa mereka
tidak memegang jawatan itu.
Mereka juga masing-masing didakwa sengaja memakai pakaian tentera
laut dan tentera darat dengan niat supaya dipercayai sebagai seorang
kelasi dan askar.
Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Markas 10
Briged Para, Kem Terendak kira-kira pukul 2.45 petang, 23 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau
kedua-duanya serta Seksyen 140 kanun sama yang membawa hukuman penjara
sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Majistret Mohd. Firdaus Salleh membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi
setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Ogos ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Meran Anak
Emai manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Mat
Sutris dan Ahmad Faiz Munawar. - BERNAMA
* Kata polis menemui sejumlah senjata dalam kereta dan replika senjata api di rumah. Mengapa mereka tidak didakwa untuk itu...

No comments:
Post a Comment