KONFLIK rumah tangga Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, dengan bekas jaguh
beregu badminton negara, Jalani Sidek, 49, dikatakan meruncing apabila
penerbit filem itu dipercayai memfailkan tuntutan perceraian di
Mahkamah Syariah Gombak Timur di Taman Keramat, Kuala Lumpur.
HIP difahamkan, Raja Azmi dan Jalani dijangka hadir di mahkamah
untuk sebutan pertama kes tuntutan perceraian itu, kira-kira jam 2.30
petang ini.
Bagaimanapun, hingga malam tadi, usaha HIP mendapatkan pengesahan
dari pasangan terbabit mengenai perkara itu, menemui jalan buntu.
Sebelum ini, tiada desas-desus menyatakan rumah tangga Raja Azmi dan
Jalani yang dibina sejak 30 tahun lalu itu, berdepan krisis.
Namun, kedua-dua mereka pernah dikaitkan dengan isu peribadi termasuk hubungan dengan individu lain.
Hasil perkahwinan Raja Azmi dan Jalani, pasangan itu dikurniakan
tiga cahaya mata, Puteri Suraya, 27; Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli,
18. Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun, Muhammad Akid
Mohd Shadan.
Raja Azmi sebelum ini pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh
badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di bilik 533, Hotel
Corus, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Serbuan dilakukan bekas isteri kedua Roslin, Norhayati Othman bersama dua adik, ibu serta Jalani pada jam 8.30 malam.
Bagaimanapun, dakwaan khalwat dikemukakan Norhayati pada prosiding
pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18
Ogos 2010, tetapi selepas setahun proses siasatan berlangsung, mereka
dibebaskan pada Ogos 2011.
Ketika itu, Raja Azmi mengadakan sidang media tergempar bagi
menjelaskan situasi sebenar sekali gus membuktikan hubungannya dan
Jalani masih kukuh. Jalani turut hadir memberikan sokongan kepada
isterinya.
- BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment