Model projek Kingdom City di Jeddah termasuk gambaran menara tertinggi di dunia yang bakal didirikan. — Foto ihsan msnbc.comRIYADH, 3 Ogos — Bangunan tertinggi di dunia akan dibangunkan di bumi Arab Saudi — struktur bangunan bercampur-campur di bandar pelabuhan Laut Merah Jeddah.
Bilionair Arab Saudi Putera Alwaleed Talal menandatangani kontrak AS$1.23 bilion (RM3.6 bilion) dengan syarikat pembinaan Bin Laden Group. Ia akan siap dibina dalam lima tahun.
Menara itu akan menjadi nadi di projek pembangunan Kingdom City yang akan dibina di luar Jeddah oleh Kingdom Holding, milik Putera Alwaleed.
“Membina menara ini di Jeddah menghantar mesej kewangan dan ekonomi yang tidak wajar diketepikan,” kata Putera Alwaleed kepada pemberita semalam.
“Ia mempunyai (mesej) politik yang mendalam, untuk memberitahu kepada dunia bahawa kami rakyat Saudi membuat pelaburan di dalam negara di sebalik apa yang berlaku di sekeliling kami, daripada pelbagai kejadian, pergolakan dan malah revolusi,” kata beliau.
Sebaik sahaja siap dibina ia akan menawarkan sebuah bangunan setinggi lebih 1,000 meter (lebih 3,280 kaki) untuk menggantikan bangunan tertinggi dunia semasa, Burj Khalifa 828 meter yang terletak di negara jiran Dubai.
Burj Khalifa dibina oleh Emaar Properties dengan kos AS$$1.5 bilion.
Ketinggian sebenar masih dirahsiakan meskipun ia sekurang-kurangnya 173 meter lebih tinggi berbanding menara Burj Khalifa.
“Kini ia 1,000 meter. Ia lebih tinggi, boleh jadi lebih beberapa meter tinggi... angka (sebenar) masih rahsia, hanya beberapa orang sahaja yang tahu,” kata Putera Alwaleed, anak saudara Raja Saudi Raja Abdullah.
Kingdom Tower akan mempunyai 59 lif dan 12 eskalator, lapor laman web msn.
Sementara menara itu akan menelan kos AS$1.2 bilion keseluruhan projek Kingdom City dianggarkan akan dibangunkan menggunakan modal AS$20 bilion.
Majlis pecah tanah dijangka akhir tahun.
“Kami berhasrat melihat Kingdom Tower menjadi enjin ekonomi dan simbol kebanggaan status ekonomi dan kebudayaan Saudi di mata komuniti dunia,” kata Talal Al Maiman yang merupakan Pengarah Eksekutif Pembangunan dan Pelaburan Domestik Kingdom Holding dan anggota lembaga Jeddah Economic Company, yang dibina pada 2009 untuk membangunkan Kingdom City di Jeddah.
Arab Saudi sedang membangunkan projek berpuluh bilion dolar untuk memperbaiki infrastruktur dengan membelanjakan lebih AS$400 bilion dalam lima tahun menjelang 2013. - TMI
No comments:
Post a Comment