14 November 2010

Tiga penyamun serang polis mati ditembak

SHAH ALAM 13 Nov. - Tindakan seorang remaja berusia 16 tahun menganggotai kumpulan samun dikenali sebagai Geng Minyak membawa padah apabila dia dan dua lagi rakannya ditembak mati setelah didakwa bertindak menyerang polis dengan parang di Jalan Kerjaya, Glenmarie, di sini awal pagi tadi.

Dua rakannya ialah Mohd. Khairul Nizam Tuah, 20, dan Muhammad Hanafi Omar, 22.

Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, ketiga-tiga mereka baru menyamun sebuah stesen minyak di U1/1, yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian tembakan.

Bertindak atas maklumat, kereta Proton Waja yang mereka naiki berjaya dikesan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, sebaik sahaja menyedari mereka dihampiri polis, kereta suspek memecut laju namun terbabas di bahu kiri jalan terbabit.

"Mereka yang bersenjatakan parang bertindak keluar dari kereta lalu mahu menyerang polis.

"Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri dan suspek-suspek itu kemudian tersungkur di atas jalan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua JSJ Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin.

Thaiveegan menambah, ketiga-tiga suspek yang berasal dari Cheras itu dipercayai turut terlibat dalam kejadian merompak di stesen minyak di Monteres dan Bukit Subang, pada bulan lalu.

Ujarnya, selain itu, siasatan menunjukkan kereta Proton Waja yang dinaiki mereka merupakan kereta yang dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur, enam bulan lalu.

Beliau berkata, kumpulan tersebut menjadikan stesen minyak di kawasan sunyi serta terpencil di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebagai sasaran untuk melakukan jenayah pada awal pagi.

"Kita masih belum dapat memastikan jumlah kerugian ekoran kegiatan geng tersebut termasuk kes yang terbaru di Glenmarie ini," ujarnya.

Ketiga-tiga mayat suspek kata Thaiveegan, telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Sementara itu, pekerja stesen minyak, Salim Makmun, 28, mendakwa mereka telah diugut bunuh oleh tiga penjenayah berkenaan dengan parang yang memecah masuk premis tersebut pukul 3.55 pagi.

Dia yang berasal dari Bangladesh berkata, dia dan rakannya sedang tidur di dalam stesen itu sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi cermin pecah.

"Saya dikepung dua daripada mereka, manakala seorang lagi pergi mengambil wang dan rokok sebelum melarikan diri.

"Saya hanya mendiamkan diri dan tunduk kerana takut selain menurut arahan supaya tidak melawan," katanya.

Katanya, rakannya, Mohd. Rafiqul Islam, 25, pula sempat menyorok di dalam stor yang dikunci dari dalam.

Salim memberitahu, perbuatan ketiga-tiga mereka yang memakai topeng dan topi keledar berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di stesen berkenaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment