
PARIS: Presiden Iraq, Jalal Talabani, tidak mahu menandatangani dokumen membenarkan hukuman mati ke atas bekas Perdana Menteri, Tariq Aziz yang dianggap sebagai 'wajah' kerajaan Saddam Hussein.
“Saya tidak boleh tandatangani arahan sebegini kerana saya memegang prinsip sosialis,” kata Talabani kepada 24 TV milik Perancis, dalam satu temuramah disiarkan kelmarin. “Saya berasa simpati kepada Tariq Aziz kerana beliau seorang Kristian dan warga Kristian. Tambahan pula, beliau sudah tua pada usia lebih 70 tahun dan sebab itu saya tidak akan tandatangani arahan itu,” kata Talabani menerusi penterjemah berbahasa Arab. Aziz, 74, adalah pegawai kanan pentadbiran Saddam. Beliau disabit dan dihukum gantung sampai mati pada 26 Oktober lalu atas peranannya menindas, mendera dan membunuh anggota parti agama Syiah yang kini menguasai Iraq.
Aziz yang disabit dalam dua kes lain dihukum penjara 22 tahun. Dalam satu temuramah dengan agensi berita musim panas ini, Aziz meramalkan beliau akan mati dalam tahanan.
Dalam kes panjang yang disusuli keputusan hukuman mati, Aziz dituduh menjadi sebahagian kempen menindas, membunuh dan menyiksa pembangkang Syiah dan parti agama diharamkan di bawah pemerintahan Saddam.
Perdana Menteri, Nouri al-Maliki adalah seorang daripada anggota parti agama utama dalam kes itu.
Hukuman mati itu dua bulan selepas Aziz dipindahkan dari Amerika Syarikat dalam tahanan Iraq. Mengikut undang-undang Iraq, Aziz diberi masa 30 hari untuk merayu hukuman mati itu.
Penyokong Aziz menegaskan, beliau tidak bertanggungjawab atas jenayah yang didakwa serta menuduh didakwa hanya kerana dia anggota pentadbiran Saddam.
Pendakwaan kes jenayah ke atas bekas pegawai era Saddam menggambarkan kebencian mendalam yang wujud sehingga kini di kalangan kepimpinan dan penduduk Syiah sendiri. – AP
No comments:
Post a Comment