Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan IPK Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes pembunuhan seorang peguam di Ipoh dua hari lalu.Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya memandang serius kes pembunuhan itu kerana ia membabitkan seseorang yang mempunyai kerjaya cukup dihormati.
"Pasukan Tugas Khas itu akan diketuai oleh Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim, bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan ada kemungkinan pembunuhan itu berkaitan dengan urusan kerja.
"Bagaimanapun, siasatan terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang kesimpulan diambil," katanya.
Dalam kejadian kelmarin, seorang peguam, G Balasunderam, 57, yang baru turun dari kereta di hadapan rumahnya selepas pulang dari pejabat, diserang dua lelaki bertopeng di Taman Desa Rishah, Buntong di Ipoh.
Beliau dikatakan sebagai “peguam de facto” bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Balasunderam yang cedera parah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 9 malam.
Sementara itu, timbalan setiausaha agung PSM, Rani Rasiah melahirkan rasa terkejut dengan kematian Balasundram, yang secara aktif membantu telah membantu PSM dari segi perundangan.
“Beberapa hari lalu, beliau hadir di mahkamah tinggi Ipoh bersama peguam Vengkat untuk buat rayuan bagi pihak empat aktivis, termasuk Segar dari PSM yang ditahan semasa membantah menuntut pemindahan sebuah kilang getah yang mencemar kampung baru di Kuala Kuang di Chemor,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
“Bala terbabit dalam banyak pertarungan di mahkamah. Dia banyak berjuang untuk golongan miskin, masyarakat yang tertindas.
“PSM juga sudah menganggap Bala sebagai sebahagian daripada kami kerana tanpa mengira keletihan beliau mewakili kes kami secara pro-bono dan mengetepikan kesnya sendiri. Beliau bekerja sepanjang masa dan memberikan yang terbaik,” katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment