KUALA LUMPUR 18 Nov. - Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. S. Jenapala hari ini memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa pemilihan yang dijalankan bagi jawatan timbalan presiden parti itu adalah tidak sah dan terbatal.
Beliau juga memohon perintah injunksi bagi menghalang PKR daripada mengisytiharkan mana-mana calon yang dipilih dalam pemilihan itu bagi jawatan timbalan presiden.
Saman pemula itu difailkan oleh Jenapala melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada pukul 4 petang ini.
Mahkamah menetapkan Isnin depan untuk mendengar permohonan tersebut.
Jenapala selaku plaintif yang diwakili peguam, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail sebagai defendan-defendan.
Dalam saman tersebut, Jenapala yang menyertai PKR pada 1998 dan menjadi anggota seumur hidup parti itu turut memohon perisytiharan bahawa beliau pada setiap masa adalah anggota parti berkenaan serta layak bertanding jawatan timbalan presiden.
Jenapala, 56, yang telah dipecat oleh PKR pada tahun lalu juga memohon perisytiharan bahawa pembatalannya untuk bertanding dalam pemilihan parti itu sebagai timbalan presiden adalah tidak sah dan bertentangan dengan haknya sebagai ahli PKR.
Selain itu, plaintif menuntut ganti rugi, faedah pada kadar lapan peratus setahun terhadap ganti rugi tersebut, kos dan sebarang perintah yang layak serta sesuai untuk diberikan oleh mahkamah.
Ahli politik itu ketika ditemui media menyatakan bahawa tujuannya mengemukakan permohonan tersebut adalah untuk mencari keadilan yang gagal diperoleh menerusi perbincangan dalam parti berkenaan.
Menurut Jenapala, beliau sebelum ini telah berkali-kali meminta pihak PKR membuktikan bahawa beliau bukan lagi ahli parti itu, namun mereka gagal berbuat demikian.
"Ada dakwaan menyatakan saya dipecat pada 2 Februari 2009 dan ada juga yang mendakwa pada 30 Ogos tahun lalu.
"Apa pun, saya pasti Wan Azizah ada agenda tersendiri untuk halang saya bertanding bagi jawatan timbalan presiden,'' katanya.
Jenapala juga memaklumkan, beliau tahu dan sedar bahawa sekiranya ahli parti membawa sebarang isu ke mahkamah, keahlian mereka akan terlucut serta-merta.
Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu telah pun berlangsung pada 29 Oktober lalu dan akan berakhir pada 21 Disember ini.
Dalam saman pemula tersebut, Jenapala yang berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung PKR pada awal 2008 sebelum meletak jawatan secara lisan pada Disember 2008 mendakwa, telah menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada 17 September lalu.
Bagaimanapun, Saifuddin telah mengeluarkan satu kenyataan media bahawa plaintif bukan lagi anggota PKR setelah dipecat pada Februari 2009 kerana mengkritik pimpinan parti sehingga tidak melayakkannya bertanding.
Plaintif juga menyatakan bahawa kenyataan Saifuddin itu tidak berasaskan kepada keputusan parti atau MPP, selain tidak pernah dimaklumkan pada bila-bila masa bahawa keahliannya telah digugurkan daripada PKR atau sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadapnya.
Jenapala berkata, beliau juga tidak pernah diarahkan menghadiri sebarang prosiding disiplin atau diberikan peluang bagi mempertahankan dirinya dalam mana-mana prosiding dalam apa jua keadaan sekalipun.
Beliau yang telah mengesahkan keanggotaannya sebagai ahli PKR pada 17 September lalu di ibu pejabat parti itu turut menyatakan, perlucutan keanggotaannya adalah tidak berasas, tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan PKR mahupun Perlembagaan Persekutuan.
Turut dinyatakan adalah pemilihan berkaitan jawatan timbalan presiden PKR telah dijalankan secara tidak wajar dan ultra vires (melampaui batasan undang-undang) memandangkan anggota parti itu secara salah dinafikan hak untuk bertanding dalam pemilihan jawatan itu. - Utusan
* Tidak ada kerja...
No comments:
Post a Comment