SEREMBAN 8 Nov. – Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba meragut seorang wanita di Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, suspek yang berusia 32 tahun cuba meragut mangsa di lampu isyarat pusat bandar Senawang sebelum dikejar oleh polis yang meronda di kawasan itu.
Difahamkan, suspek yang berasal dari Seremban Jaya dan menunggang motosikal curi jenis Yamaha RXZ, dikejar sejauh empat kilometer sehingga ke kawasan perindustrian.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin berkata, ketika dikejar, suspek beberapa kali cuba menendang motosikal anggota polis yang mengejarnya tetapi anggota terbabit masih mampu mengawal kenderaannya.
“Suspek kemudian bertindak meninggalkan motosikal yang ditunggangnya di tepi jalan sebelum melarikan diri ke kawasan paya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, anggota polis itu turut masuk ke dalam paya berkenaan untuk mengejar suspek sambil mengarahkan dia menyerah diri.
Bagaimanapun, suspek yang menyedari usahanya untuk meloloskan diri gagal bertindak agresif dengan menyerang anggota polis berkenaan menggunakan topi keledar yang dipakainya.
“Serangan itu menyebabkan tangan kiri anggota polis terbabit cedera namun dia sempat mengeluarkan pistol dan melepaskan dua das tembakan amaran,” ujarnya.
Saiful Azly berkata, suspek yang bertindak ganas terus melibas-libas topi keledar menyebabkan anggota berkenaan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah lelaki berkenaan bagi mempertahankan diri.
Walaupun cedera, katanya, suspek terus cuba melarikan diri, namun rebah 10 meter di dalam kawasan paya yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan raya.
Anggota polis itu kemudian menghampiri suspek untuk membuat pemeriksaan dan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.
Tambah Saiful Azly, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui peralatan menghisap dadah seperti jarum suntikan termasuk sebilah pisau dalam beg sandang milik suspek. - Utusan
* Mencabar sungguh tugas polis...
No comments:
Post a Comment