PETALING JAYA, 9 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan pemilihan langsung yang berlangsung sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan dua calon timbalan presiden ekoran dakwaan wujudnya manipulasi dan kecacatan dalam proses pengundian.Ketika menyatakan pendirian tegas parti itu petang, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga menolak dakwaan Datuk Zaid Ibrahim bahawa proses pengundian pemilihan pusat telah dimanipulasi.
“Adakah ini akan memberi kesan ke atas proses (pemilihan)? Tidak, kami menerima sokongan kuat daripada akar umbi,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Proses pengundian yang bermula dua minggu lalu akan berakhir 21 November ini.
Saifuddin (gambar) juga menegaskan bahawa daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan pengundian, Zaid menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang.
Dalam pada itu seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, yang memberikan kata dua kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pagi tadi, menang di 11 cabang.
“Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,” kata Saifuddin.
Bagaimanapun Azmin mendahului dua pesaingnya dengan memperoleh 4,378 undi berbanding Zaid yang mengumpulkan 3,410 undi manakala Mustaffa pula 1,181 undi.
“Jangan jadikan sekretariat atau jawatankuasa pemilihan kambing hitam jika calon gagal untuk memobilisasikan jentera mereka,” kata Saifuddin.
Semalam, Zaid memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan proses pemilihan dicemari kecacatan dan manipulasi undi.
Keputusan itu ekoran pemerolehan undi dalam jumlah yang besar oleh Azmin dari Sabah pada Sabtu dan Ahad lalu.
Pagi tadi, Zaid meminta agar pemilihan ditangguhkan, langkah yang turut disokong oleh Mustaffa.
Mustaffa memberi kata dua agar pemilihan semasa dibatalkan dan proses pengundian baru diadakan.
Menurut Mustaffa beliau akan menghantar memorandum komprehensif kepada parti bagi membuktikan kecacatan pemilihan.
Saifuddin juga membacakan surat yang dihantar oleh Zaid pada 5 Oktober lalu, yang menyenaraikan tujuh cadangan dilaksanakan oleh parti sebelum beliau boleh bertanding dalam pemilihan.
Katanya, pelantikan ejen pengundian dan pengiraan, nombor bersiri pada kertas undi, pembersihan daftar pemilih, ruang pengundian berasingan, waktu mengundi tetap dan pengecualian yuran untuk layak mengundi adalah perkara disyorkan oleh Zaid.
“Beliau menuntut peti undi lutsinar, tetapi ini tidak boleh dilaksanakan sebab tidak ada sumber kewangan yang secukupnya,” kata Saifuddin.
“Hakikatnya, Datuk Zaid telah bersetuju untuk menerima pencalonan dan sudah pun separuh jalan dalam pemilihan,” katanya lagi.
Saifuddin juga menyenaraikan nama pemimpin yang tewas dalam pemilihan bahagian tetapi masih kekal bersama parti.
“Pemilihan ini juga menyaksikan kekalahan pemimpin yang ada bersama parti sejak penubuhan, tetapi mereka tewas di peringkat bahagian,” kata Saifuddin.
“Datuk Kamarul Baharin Abas, sebagai contoh, merupakan bekas bendahari, setiausaha agung tetapi tewas di Teluk Kemang di tangan YB M. Ravi,” kata beliau.
Pemimpin-pemimpin lain yang kalah termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong di Petaling Jaya Utara, Exco Kerajaan Negeri Kedah Lim Soo Nee (Kulim Bandar-Baharu) dan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail (Shah Alam).
“Elizabeth Wong membuat aduan tetapi beliau tenang sementara menanti keputusan mengenai aduan beliau,” katanya lagi.
Mengenai status Zaid, Saifuddin berkata, jawatankuasa pemilihan akan menentukan sama ada pengumuman beliau dalam blognya sudah cukup memadai.
“Tiada makluman (lagi), hanya menerusi blog. Tetapi jawatankuasa pemilihan akan memutuskan,” kata Saifuddin lagi. - TheMalaysianInsider
No comments:
Post a Comment