BESUT 15 Nov. - Tiga kakitangan awam adalah antara 157 orang ditahan kerana positif dadah dalam Ops Tapis bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah ini selama dua hari bermula kelmarin.
Turut ditahan tiga mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang pelajar sekolah.
Ketua Polis daerah, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, mereka ditahan ialah seorang guru, pembantu am rendah dan pemandu jabatan kerajaan, yang kesemuanya berusia 40-an.
Katanya, turut dirampas 26 biji pil kuda, satu peket ganja seberat satu gram dan 300 bungkus air ketum serta wang tunai berjumlah RM874.
Menurutnya, operasi disertai 98 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dengan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Deputi Supritendan Amran Ramli.
"Sasaran ditumpukan kepada usaha menangkap mereka yang terbabit dengan dadah menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah di kawasan tumpuan jenayah indeks.
"Seramai 214 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 157 orang berusia 15 dan 51 tahun direman untuk siasatan," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, selain mereka yang positif dadah, dua wanita berusia 23 dan 24 tahun adalah antara tujuh warga Thailand ditahan kerana tanpa dokumen sah.
"Seramai 146 daripada mereka disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dua kes di bawah Seksyen 12(2) akta sama, satu kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan selebihnya Akta Imigresen. - Utusan
No comments:
Post a Comment