KUALA LUMPUR 17 Nov.- Raja Pop tanah air Jamal Abdillah akan melancarkan produk kesihatan dan kecantikan yang diberi nama D'JA'S menjelang awal tahun depan di Istana Budaya.
Beliau berkata produk yang menggunakan teknologi dari Perancis itu telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, malah digunakannya sejak lebih tiga tahun lepas.
"Selama tempoh pemakaian produk ini, saya amat berpuas hati...segala urusan mendapatkan hak melabelkan produk sudah selesai, cuma tinggal untuk dilancarkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Rumah Pengasih, Bukit Tuanku di sini hari ini.
Jamal berkata pada mulanya, beliau merancang menghasilkan produk itu bersama rakan baiknya Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada Julai lepas, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila jutawan kosmetik itu dibunuh bersama tiga individu lain pada 30 Ogos.
Ketika ditanya sama ada masih menyimpan hasrat bekerjasama dengan syarikat Allahyarham Sosilawati, Jamal berkata setakat ini, beliau tidak mempunyai perancangan untuk berbuat demikian.
Katanya, kesemua produk D'JA'S akan dipasarkan oleh stokisnya di seluruh negara selepas dilancarkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment