KUALA LUMPUR: Kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) yang terkejut dengan perbuatan seorang individu menyamar menjadi pengurus mereka, membuat laporan polis baru-baru ini kerana mereka difitnah menerusi laman sosial, Facebook.
Individu terbabit yang menamakan dirinya Siti Nur- shakimi Bakri mendakwa dia adalah pengurus kumpulan itu bernama Kimmy Nafisah, sedangkan pengurus sebenar tidak tahu-menahu kewujudan mesej dalam Facebook itu.
Dalam mesej terbabit, Siti mendakwa dia meletakkan jawatan kerana tidak tahan tabiat buruk ahli MUH yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Dia turut menghantar mesej itu kepada pelbagai media cetak dan elektronik.
Kimmy, pengurus sebenar MUH, berkata individu yang menggunakan nama Siti Nurshakimi Bakri itu turut memaparkan wajah orang lain iaitu bukan wajahnya.
“Saya mendapat tahu mengenai perkara ini apabila ramai rakan media menelefon. Saya terkejut dan kemudian mendapati ada individu yang bertindak menyamar sebagai saya dan menyebarkan fitnah berkenaan.
“Hakikatnya, saya masih bersama MUH dan mereka tidak pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah, alkohol atau kaki perempuan. Semua itu mungkin bertujuan mencalarkan imej saya dan MUH.
“Selain itu, rasanya orang yang menyamar berkenaan cuba mencetuskan provokasi dan melaga-lagakan saya dan MUH,” katanya.
Kimmy berkata dia dan ahli MUH kini hidup tertekan dengan fitnah berkenaan, malah setiap hari mereka menerima hampir 200 panggilan telefon daripada orang tidak dikenali bertanyakan hal berkenaan.
“Mesej ini bukan saja dihantar kepada media, malah rakan artis yang mempunyai ribuan peminat. Jadi, pasti ramai terkejut dan terpedaya lalu menghubungi kami.
“Ada individu tidak dikenali turut menghubungi kami sehingga mengganggu aktiviti harian dan mental kami,” kata Kimmy yang terpaksa menukar nombor telefonnya.
Namun, katanya, dia masih menerima panggilan daripada orang tidak dikenali sedangkan tidak ramai mengetahui nombor telefon berkenaan, lalu dia dapat mengagak dalang yang menyebarkan fitnah berkenaan.
“Begitupun, saya tidak mahu menuduh sembarangan. Semuanya diserahkan kepada polis. Kami membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengenal pasti orang yang menyamar itu,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment