08 November 2010

Bagaikan mati hidup semula - Mangsa

KEMAMAN 7 Nov. - Bagi Mohd. Zulkifli Mat Daud, pengalaman ngeri yang terpaksa ditempuhi bersama 15 mangsa lain termasuk isteri dan anaknya sepanjang 16 jam terapung dalam laut bergelora diibaratkan seperti 'mati hidup semula'.

Katanya, sepanjang hanyut di lautan, kesemua penumpang bot yang karam di perairan Terengganu berhampiran Pulau Tenggol hanya mampu berdoa dan berselawat selain berserah kepada Tuhan.

"Kami semakin tidak berdaya selain berdoa. Walaupun cuba berenang ke darat, ia gagal kerana kami terlalu penat dan ombak besar," ujar ahli perniagaan itu ketika ditemui di jeti Pangkalan Marin dekat sini hari ini selepas ditemui oleh pasukan Marin hari ini.

Mohd. Zulkifli, 33, adalah antara 16 mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Dungun, kira-kira 10 batu nautika (18.5 kilometer) dari Pulau Tenggol lewat petang semalam.

Beliau yang tinggal di Bangi, Selangor, bersama isteri, Noraini Sosilawati Siregar Suffian, 30, serta anak mereka, Mohd. Daniel Aiman, 4, menyertai beberapa kumpulan pelancong ke Pulau Tenggol untuk mengikuti aktiviti menyelam skuba.

Sementara itu, tekong bot berkenaan, Zulfadly Yahya, 29, pula berkata, pukul 6.30 petang semalam, dia menyedari bot yang dinaiki bocor dan enjin rosak lalu segera memaklumkan kepada penumpang lain.

"Pada mulanya kami bersama-sama keluarkan air daripada bot namun keadaan semakin buruk dan bot semakin tenggelam sebelum kami semua bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri," katanya yang berasal dari Kampung Chalok Barat, Setiu.

Menurutnya, dalam keadaan hujan dan kegelapan malam, mereka nyaris dilanggar beberapa kapal yang dipercayai tidak nampak mereka terapung di lautan.- Utusan

No comments:

Post a Comment