IPOH 22 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memantau laman-laman blog serta laporan media berhubung dakwaan wujudnya politik wang menjelang pemilihan MCA pada 28 Mac ini.
Pengarah Siasatannya, Mustafar Ali berkata, siasatan akan dijalankan jika SPRM menerima aduan mengenainya.
"Setakat ini belum ada sebarang aduan dibuat. SPRM peka dengan pendedahan yang dibuat tetapi kita tidak mudah membuat kesimpulan selagi belum terbukti kesalahan yang telah dilakukan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas antara Pengarah SPRM negeri yang baru, Nooraziah Abdul Manaf dan Bahri Mohamad Zin yang berpindah ke Sarawak.
Pada pemilihan MCA Ahad ini, 31 jawatan dipertandingkan iaitu masing-masing presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 orang Jawatankuasa Pusat (CC).
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mustafar memberitahu, pihaknya sedang menyiasat beberapa kes dakwaan rasuah membabitkan balak di Pahang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, masyarakat perlu bekerjasama dan berperanan menyalurkan maklumat kepada SPRM atau Jabatan Perhutanan negeri jika melihat pembalakan haram.
"Jika ada kontraktor yang diberi konsesi balak tetapi mencuri balak di kawasan tidak sepatutnya, kita akan ambil tindakan.
"Pembalakan haram ini bukan hanya menyebabkan kerugian hasil kerajaan serta kemusnahan alam sekitar malah mungkin wujud peluang berlaku amalan rasuah," katanya.
Nooraziah dalam ucapannya berharap, usaha membanteras kegiatan rasuah di negeri ini dapat dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk orang ramai. - Utusan
No comments:
Post a Comment