Siasatan terhadap laporan mengikut Akta Hasutan: Musa
KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ketika merancang mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata siasatan terhadap dakwaan itu sedang dijalankan mengikut Akta Hasutan susulan laporan polis yang diterima pihaknya semalam.
“Seperti saya katakan sebelum ini, kita akan menyiasat sebaik menerima laporan, sekarang ini pegawai saya sedang menjalankan siasatan dan buat permulaan ia disiasat mengikut Akta Hasutan dan selepas itu kita lihat perkembangan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Zahrain ketika perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat minggu lalu, mendedahkan rancangan ‘16 September’ Anwar untuk mengambil alih kerajaan, termasuk meyakinkan Ahli Parlimen pembangkang bahawa Yang di-Pertuan Agong merestui beliau sebagai Perdana Menteri.
Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini wakil rakyat Bebas itu berkata, Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong sedang menunggu di istana untuk mendapat pengesahan jumlah Ahli Parlimen yang akan melompat.
Anwar juga dikatakan mendakwa baginda merestuinya menjadi Perdana Menteri selain menyatakan bahawa Panglima ATM turut memberi sokongan kepada pembangkang.
Mengulas lanjut perkara itu, Musa berkata, polis akan memanggil Zahrain dan Anwar dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan keterangan berhubung dakwaan itu.
Sementara itu, sekurang-kurangnya empat laporan polis dibuat semalam bagi meminta siasatan dijalankan terhadap Anwar, susulan dakwaan Penasihat PKR itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, jika rancangan kerajaan 16 September menjadi kenyataan.
Laporan itu dibuat Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan dan Johor bagi meminta polis menyiasat pendedahan Zahrain di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar, ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, berkata pihaknya memandang serius pendedahan Zahrain itu kerana ia membabitkan kepentingan awam dan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, pendedahan yang mendakwa Anwar mengaitkan Yang di-Pertuan Agong kononnya merestui beliau sebagai Perdana Menteri keenam, bukan saja mengheret Baginda ke kancah politik, malah ia berbaur hasutan terhadap institusi Raja.
“Tindakan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dengan sewenang-wenangnya bukan saja tidak menghormati institusi berkenaan, malah mencemarinya demi kepentingan politik,” katanya.
Di PUTRAJAYA, Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali membuat laporan polis di IPD Sepang kira-kira jam 10 pagi bagi meminta polis menyiasat kenyataan yang mendakwa Anwar menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan panglima ATM dalam rancangan 16 September itu.
Beliau berkata, laporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Zahrain mengenai pembohongan Anwar dalam ‘Misi 16 September’ yang boleh mencemarkan nama baik institusi Yang di-Pertuan Agong dan ATM.
Di GUA MUSANG, Pemuda Umno Kelantan menerusi Setiausahanya, Bazlan Babaruddin, membuat laporan polis di IPD Gua Musang kira-kira jam 3.30 petang yang turut disertai 10 anggota pergerakan itu.
Dalam laporan itu, mereka meminta pihak berkuasa menyiasat secara terperinci dakwaan Zahrain di Dewan Rakyat bahawa Anwar telah menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM berkenaan isu pembentukan kerajaan oleh pembangkang.
Di PONTIAN, seramai 40 ahli Pemuda Umno Johor yang membuat laporan polis di IPD Pontian, petang semalam, menyifatkan tindakan Anwar menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM sebagai tidak bertanggungjawab.
Ketuanya, Mohd Fadil Miskon, turut meminta Anwar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana rancangannya bagi menubuhkan kerajaan pada 16 September itu boleh mencetuskan kebimbangan rakyat. - Bharian
* Patut lagi hendak pencen lagi buat 'bunga' tapi ini buat 'najis'...
No comments:
Post a Comment