KUALA LUMPUR 23 Mac – Kerajaan bersetuju melaksanakan penambahbaikan jadual gaji matriks (JGM) bagi skim perkhidmatan pensyarah perubatan (DU) dan pensyarah pergigian (DUG) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkuatkuasa 1 Julai ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia akan membolehkan golongan pensyarah tersebut memperoleh gaji yang setara dengan pegawai perubatan yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan.
“Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai skim pensyarah yang berbeza misalnya dalam bidang-bidang yang kritikal.
“Ketika ini, gaji pensyarah dalam bidang perubatan dan pergigian adalah rendah, jadi yang itu kita akan naikkan dulu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Meningkatkan Keberkesanan Peranan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkifli A. Hassan dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept), Prof. Datuk Roziah Omar.
Pada 9 Mac lalu, kerajaan mengumumkan untuk mengkaji skim perkhidmatan pensyarah IPTA dan institut perguruan (IP) termasuk membenarkan kenaikan pangkat bagi profesor hingga ke peringkat turus tertinggi tanpa perlu memegang jawatan pentadbiran di universiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bertujuan melahirkan tenaga pengajar dan penyelidik terbaik serta bermotivasi.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, langkah menaikkan pangkat sehingga ke peringkat turus tertinggi adalah bagi membolehkan golongan pensyarah menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang akademik.
“Apabila seseorang itu boleh dinaikkan pangkat sehingga ke peringkat tertinggi, ini akan merangsang pensyarah lain untuk bersaing menguasai ilmu pengetahuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan mengumumkan keputusan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) yang mengukur tahap kualiti pengajaran dan pembelajaran di IPT di negara ini tidak lama lagi. - Utusan
* Sepatutnya melibatkan semua pensyarah...
No comments:
Post a Comment