(Gambar : OMAR tidak dapat menahan sebak ketika tiba di LTSAH, di Alor Setar, semalam.)
Pak Omar ikat perut bulan pertama ditahan
ALOR SETAR: “Saya terpaksa menumpang ihsan seorang tahanan warga Pakistan untuk mendapatkan makanan, kerana hanya sup babi bersama pulut dihidang di penjara setiap hari,” kata Omar Atan, 59, yang ditahan di Penjara Laos sejak Mei tahun lalu selepas didakwa terbabit dengan jenayah perdagangan manusia di negara itu.
Hakikat itu disuarakan Omar, bapa kepada empat anak dari Padang Besar, Perlis sebaik menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, semalam selepas lebih 11 bulan menjadi tahanan
di penjara terbabit. Omar yang lebih mesra dengan panggilan Pak Omar berkata, tempoh sebulan pertama di Penjara Laos amat perit kerana terpaksa mengikat perut disebabkan pihak penjara hanya menyediakan daging babi sebagai hidangan, dan beliau tidak mampu menjamah makanan itu yang dihidangkan dua kali sehari menyebabkan berat badannya susut mendadak.
Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana seorang lelaki Islam dari Pakistan bernama Sheema, yang ditahan di penjara berkenaan sanggup berkongsi bekalan makanan, sementara menunggu bantuan daripada pihak Kedutaan Malaysia
di Laos, katanya.
Pak Omar tiba di LTSAH pagi semalam, selepas diberikan pelepasan oleh kerajaan Laos selama 10 hari berikutan kematian isterinya, Siti Zaleha Abdullah, 48, yang meninggal dunia pada Khamis lalu akibat sakit buah pinggang.
Sebaik tiba di Perlis semalam, beliau bergegas ke Tanah Perkuburan Islam Padang Besar, Perlis untuk melawat kubur arwah isterinya dengan ditemani tiga daripada empat anaknya iaitu Nur Asma, 20, Siti Suhaida, 17 dan Nur Akila, 11.
Sebaik tiba di pekarangan tanah perkuburan itu, Pak Omar menitiskan air mata sehingga Naib Ketua Pemuda Umno Padang Besar, Mohd Noor Aziz menenangkannya sebelum memimpinnya ke kubur arwah isterinya.
Saya sepatutnya mendengar nasihat isteri supaya tidak ke Laos kerana tempat itu jauh dan dia (isteri) sedang sakit. Namun saya berdegil, kami terpisah dan bertemu semula hari ini (semalam) dalam keadaan begini (isteri yang sudah meninggal dunia), katanya.
Katanya, beliau risaukan anak-anak yang kini terpaksa hidup tanpa orang tua kerana beliau perlu kembali menjalani hukuman di Laos, dan berharap Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Laos dan Pemuda Umno berikhtiar membelanya secara wajar supaya beliau dapat terus berada di Malaysia.
Pak Omar ditahan pihak berkuasa Laos ketika cuba meninggalkan negara itu pada 13 Mei tahun lalu kerana terbabit dalam jenayah perdagangan manusia. Beliau ditempatkan di Penjara Antarabangsa Laos bersama 30 lagi tahanan asing, termasuk tiga yang beragama Islam iaitu masing-masing dari Malaysia, Pakistan dan Ghana.
Beliau khuatir tempoh tahanannya di Laos berpanjangan kerana selama 11 bulan ditahan, tiada sebarang pertuduhan dilakukan pihak berkuasa Laos, apatah lagi lelaki yang membawanya ke sana, iaitu S Krishnan turut ditahan bersamanya dikatakan melarikan diri dan kembali ke Malaysia ketika mendapatkan rawatan di hospital di Laos kerana sakit.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh, berkata pihaknya dengan kerjasama polis dan Wisma Putra akan berusaha menjejaki Krishnan yang dikatakan berasal dari Sungkai, Perak bagi membantu siasatan.
Kita percaya Pak Omar mangsa keadaan dan kami akan menyediakan pihak pembelaan terbaik, apatah lagi penahanan beliau dilihat bertentangan dengan hak asasi manusia kerana sehingga kini tidak disertai sebarang pendakwaan, katanya yang mengakui perlu menghantar Pak Omar pulang semula ke Laos selewat-lewatnya 30 Mac ini. - Bharian
No comments:
Post a Comment