KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan ditahan bersama kekasihnya dan dua lagi rakannya yang juga pasangan kekasih di sebuah hotel di Jalan Cherong Lanjut di sini, malam Ahad lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata wanita berusia 20 tahun yang juga pernah mewakili Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2008, ditahan kira-kira jam 11 malam ketika menunggu pelanggan bersama rakannya.
“Pemeriksaan dalam bilik berkenaan, menemui 34 pil kuda bernilai RM1,190 dan wang tunai RM350 dipercayai hasil jualan dadah secara kecil-kecilan. Semua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Siasatan awal mendapati mereka penagih dadah jenis pil kuda dan positif methampethamine. Majlis Sukan Negara dan Pengurus Sukma Terengganu mengesahkan wanita itu tidak lagi menyertai Majlis Sukan Terengganu atau mewakili negara sejak tiga bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sementara itu, dalam operasi kedua setengah jam kemudian, di sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail di sini, polis menahan tiga lagi suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki yang disahkan positif dadah jenis morfin dan methamphetamine.
Roslan berkata, polis terpaksa memecahkan pintu bilik kerana mereka enggan bekerjasama dan polis menemui dua botol plastik mengandungi heroin bernilai RM2,800.
“Dua wanita itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kuala Terengganu, manakala suspek lelaki pula penganggur. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kita masih menyiasat sama ada kedua-dua kes itu mempunyai kaitan kerana persamaan modus operandi iaitu menggunakan wanita muda dan hotel bajet sebagai transit pengedaran dadah, katanya.
Katanya, pengedar dadah di negeri ini mula menggunakan hotel bajet sebagai transit untuk mengedar dadah secara kecil-kecilan di sekitar Kuala Terengganu.
“Kita nasihatkan semua pemilik homestay atau hotel bajet mengawasi penyewa atau pengunjung yang mencurigakan kerana kegiatan ini semakin berleluasa,” katanya.
Tujuh suspek terbabit direman empat hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan. - Bharian
No comments:
Post a Comment