KUANTAN 25 Feb. – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan seorang jurunikah yang dipercayai menjalankan akad nikah terhadap pasangan-pasangan yang tidak ada kebenaran untuk berkahwin, dalam serbuan di rumahnya di Kampung Kempadang di sini hari ini.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa JAIP, Raflie Ab. Malek berkata, jurunikah yang berusia 62 tahun itu ditahan pada pukul 1.40 tengah hari tadi kerana menjalankan kegiatan nikah yang menyalahi undang-undang walaupun bertauliah sebagai jurunikah sah.
"Suspek sebenarnya mempunyai tauliah sebagai seorang jurunikah, bagaimanapun cara yang diguna pakai lelaki berkenaan menyalahi undang-undang yang ditetapkan selain dipercayai salah dari hukum syarak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, lelaki itu dipercayai menjalankan akad nikah terhadap pasangan-pasangan yang tidak ada kebenaran untuk berkahwin dengan mengenakan bayaran melebihi RM1,000.
Beliau berkata, tugas-tugas jurunikah yang dilakukan oleh lelaki itu juga dipercayai mempunyai rangkaian seperti sebuah sindiket dan dipercayai beroperasi sejak lima tahun lepas.
Menurutnya, kegiatan itu juga berdasarkan daripada siasatan dan penemuan beberapa dokumen perkahwinan seperti sijil nikah yang mempunyai cetakan dari Thailand yang ditemui di rumahnya. – Bernama
No comments:
Post a Comment