KEPALA BATAS 24 Feb. – Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Zainal Abidin Abdul Aziz, yang diberi notis supaya mengosongkan ladang buah-buahan yang disewanya untuk tujuan penyelidikan, merayu kepada pemilik tanah itu supaya beliau dibenarkan terus menggunakan tapak itu.
Notis mahkamah itu dikeluarkan dua minggu lepas dan hari ini adalah hari terakhir untuk beliau keluar dari ladang yang dikenali sebagai T Firdauce itu kerana kegagalannya membayar sewa bulanan tanah yang kini berjumlah hampir RM100,000 kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
Zainal Abidin memberitahu pemberita, tanah seluas 12 hektar itu diusahakannya sejak 10 tahun lepas bagi tujuan penyelidikan pelajar peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) daripada USM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Satu ketika dulu sumber kewangan diperoleh dari USM tetapi setelah bersara saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri kerana banyak pihak enggan membantu,” katanya.
Zainal Abidin berkata, Perda menawarkan tanah itu untuk disewa bagi tujuan penyelidikan dengan perjanjian ditandatangani setiap tiga tahun untuk tempoh 15 tahun.
"Saya perlu membayar sewa tanah ini sebanyak RM1,500 sebulan.
“Pada awalnya, tidak ada masalah kerana USM memperuntukkan sejumlah wang untuk itu, tetapi setelah bersara saya berdepan masalah untuk membayar sewa secara tetap setiap bulan sehingga jumlah sewa kini hampir RM100,000,” katanya.
Ladang T Firdauce ditubuhkan pada 2003 dan ditanam dengan buah-buahan tropika antaranya nangka madu, durian belanda, pulasan, avocado, jambu batu dan belimbing. – Bernama
No comments:
Post a Comment