27 February 2010

Akbar Denmark mohon maaf

COPENHAGEN 27 Feb. - Akhbar harian Denmark, Politiken semalam memohon maaf kepada umat Islam kerana menyinggung perasaan mereka berhubung kartun Nabi Muhammad yang disiarkannya pada 2008.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menyesal atas tindakannya menyiarkan gambar kartun itu.

“Kami memohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan tindakan kami mencetak semula gambar kartun itu,” ujar akhbar berkenaan dalam satu kenyataan.

Politiken adalah akhbar pertama Denmark yang bertindak memohon maaf secara formal kepada mana-mana pihak yang marah berhubung penyiaran kartun itu.

Dalam permohonan maafnya, Politiken berkata, ia menyesal jika gambar kartun itu menghina agama Islam, namun mengatakan tidak menyesal menyiarkannya.

Ketua Pengarang akhbar itu, Toeger Seindenfaden, berkata, dia gembira dengan keputusan itu.

“Kami kesal kerana menyebabkan umat Islam tersinggung walaupun ia bukan niat kami untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Persetujuan itu dibuat ekoran permohonan dikemukakan seorang peguam Arab Saudi, Faisal Ahmed Zaki Yamani terhadap 11 akhbar Denmark.

Dia menggesa semua akhbar berkenaan memohon maaf, berjanji tidak akan menyiarkan lagi gambar sama dan membuang kartun yang menimbulkan kontroversi itu dari laman Web mereka.

Permohonan maaf dibuat Politiken itu dikutuk sekerasnya ahli-ahli Parlimen di Denmark yang menuduh akhbar itu tunduk kepada tekanan dan mengorbankan kebebasan bersuara yang dianggap asas demokrasi Denmark.

Beberapa akhbar Denmark yang lain turut mengutuk permohonan maaf itu namun mengatakan mereka tidak akan menyiarkan semula gambar kartun berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen berkata, beliau menolak untuk mencampurinya namun pada masa sama dipetik memuji kebebasan bersuara dan menghormati keputusan pengarang. - AFP

No comments:

Post a Comment