12 January 2010

Wanita daif, mangsa sindiket dadah dibantu pulang ke tanah air

SUBANG JAYA 12 Jan. — Pergerakan Pemuda UMNO sedang berusaha membawa pulang seorang ibu kepada enam anak yang kini ditahan di Milan, Itali setelah dijadikan ejen pengedaran dadah oleh sindiket antarabangsa.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, wanita tersebut yang tinggal di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan kini dalam tahanan pihak berkuasa negara tersebut sejak tahun lepas setelah membawa barangan terlarang itu.

"Selepas Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO berjaya membawa pulang pesakit mental, P. Jeyakumar yang ditahan di Argentina selepas diperdaya sindiket dadah antarabangsa, terdapat ramai yang tampil meminta bantuan dan kini kita dalam usaha membantu wanita tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, wanita berusia 40-an itu yang hidup daif dan bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijanjikan untuk mengembangkan peluang perniagaan jahitannya dengan diterbangkan ke Itali bagi mendapatkan tekstil yang bermutu di sana.

Namun apabila transit di Itali, bagasinya telah diisi dengan barang terlarang itu dan ditahan pihak berkuasa di sana.

"Suami mangsa telah membuat aduan kepada kami dan kini usaha sedang dijalankan. Kita telah berhubung dengan pihak berkuasa di sana bagi membebaskannya,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment