PENGURUSAN UiTM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Insan Meluat yang menulis aduan bertajuk 'Siswa memadu kasih di taman permainan' di ruangan ini pada 4 Januari lalu.
Sebagai sebuah organisasi yang proaktif dan peka mengenai keperluan musyawarah dan kerjasama erat dengan masyarakat setempat, kami sudah menjalankan siasatan dan pemantauan pada hari berikutnya di lokasi kejadian.
Hasil siasatan, kami dapati kerosakan minimum hanya membabitkan satu buaian di taman permainan Puncak Perdana manakala tiada sebarang kerosakan di taman permainan Sandaran Permai.
Pemantauan pada waktu petang hari sama juga mendapati beberapa pelajar wanita menggunakan permainan jongkang-jongket dan buaian di kedua-dua taman walaupun terpampang di papan kenyataan bahawa alat permainan adalah untuk kegunaan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Sungguhpun lokasi berkenaan berada di luar bidang kuasa UiTM Kampus Puncak Perdana, pelajar berkenaan sudah dipanggil dan diberi amaran keras agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang. Bagaimanapun, tiada insiden pelajar UiTM memadu kasih di taman permainan seperti didakwa.
Namun, sebagai tindakan susulan jangka panjang proaktif demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan kedua-dua pihak, kami akan melaksanakan sesi dialog berkala bersama-sama persatuan penduduk setempat agar masalah salah laku pelajar UiTM Kampus Puncak Perdana yang berlaku di luar kampus sekiranya ada, dapat ditangani bersama.
Nombor telefon pegawai berkenaan juga akan dibekalkan kepada persatuan penduduk setempat bagi memudahkan mereka membuat aduan terus sekiranya terdapat insiden sedemikian.
Langkah ini bukan bertujuan memindahkan tanggungjawab memantau perilaku pelajar UiTM di luar kampus kepada penduduk setempat, tetapi ia lebih menjurus ke arah mewujudkan persefahaman dan kerjasama lebih erat di antara warga organisasi ini dan setempat.
Selain itu, program membabitkan pelajar UiTM Kampus Puncak Perdana bersama masyarakat setempat juga akan dilaksanakan agar pelajar lebih peka serta prihatin terhadap kepentingan memupuk dan memelihara persepsi positif masyarakat sekeliling terhadap organisasi ini.
Maklumat mengenai kepentingan menjaga kemudahan awam juga akan diedarkan kepada semua warga kampus. Organisasi ini juga bercadang untuk menambah bilangan kemudahan riadah di dalam kawasan UiTM Kampus Puncak Perdana agar kejadian salah guna taman permainan kawasan setempat tidak berulang lagi.
UiTM amat mengalu-alukan serta berterima kasih di atas sebarang aduan dan keprihatinan yang ditunjukkan masyarakat setempat terhadap organisasi ini.
Namun, kami amat berharap agar maklum balas membina dapat disampaikan terus kepada pihak pengurusan kampus untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian salah tafsir, salah faham dan salah lapor.
PROF MADYA DR AHMAD REDZUAN ABD RAHMAN
Penolong Naib Canselor UiTM
No comments:
Post a Comment