10 January 2010

Polis tahan 74 pemandu berlumba di lebuh raya

BUTTERWORTH: Hasrat 74 pemandu kereta untuk menunjukkan kejaguhan masing-masing dengan berlumba dan melakukan aksi berbahaya seperti "drift" di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini tidak tercapai apabila mereka ditahan dalam satu serbuan awal pagi ini.

Lebuh raya berkenaan yang menjadi antara "litar" kegemaran mat rempit dan pemandu kereta untuk berlumba haram serta menunjukkan aksi berani, mula dibanjiri lebih 100 kereta pada kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin, berkata sebaik sahaja "pusingan" pertama dimulakan, polis yang melakukan kepungan bertindak menutup laluan berkenaan menyebabkan 74 pemandu terbabit terperangkap.

Katanya, pihaknya bersama beberapa jabatan penguatkuasa lain membuat perancangan selepas menjalankan intipan dan risikan sejak seminggu lalu mengenai perlumbaan kereta diadakan di lebuh raya itu.

"Ops Bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kekuatan 51 anggota termasuk polis trafik negeri," katanya di sini hari ini.

Wan Aziz berkata, pemandu kereta berkenaan tidak menyedari bahawa pasukan operasi sudah berada situ sejak awal lagi dan kedua-dua laluan masuk dan keluar lebuh raya berkenaan telah dikepung.

"Sebaik sahaja perlumbaan dimulakan, kita mengambil tindakan menutup semua laluan dan menahan mereka yang berusia lingkungan 20-an itu," katanya.

Dalam operasi bermula jam 12 hingga 5 pagi itu, 74 kereta disita kerana pemandunya melakukan pelbagai kesalahan seperti mengubah suai kenderaan dan menukar enjin tanpa didaftar.

Beliau berkata, arahan turut dikeluarkan kepada kenderaan yang telah diubah suai untuk menjalani pemeriksaan JPJ.

"Dalam operasi itu, kita turut menyita sebuah kereta kerana menggunakan cukai jalan palsu dan JAS juga mengeluarkan 10 saman," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment