KUALA LUMPUR 12 Jan. — Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berkata, adalah terlalu awal bagi kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun didedahkan kepada proses pengundian memilih pemimpin mirip kepada kempen pilihan raya.
"Bagi saya, murid ini terlalu awal didedahkan dengan politik ataupun proses berkempen,” katanya bagi mengulas proses pengundian memilih ketua murid yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI)1 semalam.
Biarpun sudah dua kali mengadakan pengundian bagi memilih ketua murid, namun proses pengundian di sekolah itu kali ini mirip satu pilihan raya kerana ia turut melibatkan penyertaan SPR Wilayah Persekutuan selaku pengendali dan pemantau proses itu.
Ia bermula dengan proses penamaan calon, kempen selama seminggu termasuk memasang poster, mengedar kalendar serta nama dan slogan calon, kunjungan calon dari kelas ke kelas dan akhirnya pemilihan yang menggunakan kotak mengundi seperti dalam pengundian pada pilihan raya.
"Di SPR sendiri kami turut menyediakan pendidikan pengundi tetapi terus kepada peringkat sasaran iaitu mereka yang lebih berusia seperti penuntut sekolah menengah dan universiti ataupun kolej,” kata Wan Ahmad kepada Bernama ketika dihubungi di sini. - Bernama
No comments:
Post a Comment