LONDON 14 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia yang datang ke United Kingdom (UK) agar mengikut peraturan dan tidak tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ia amat penting bagi mengelakkan UK mengenakan keperluan visa kepada pemegang pasport Malaysia yang ingin melawat ke negara ini pada masa akan datang.
Menurut beliau, UK sedang menimbang untuk mengenakan visa ke atas rakyat Malaysia dan akan membuat keputusan mengenainya pada tahun depan.
"Pertemuan saya dengan Setiausaha Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran UK, Lord Mandleson semalam telah membincangkan dengan mendalam mengenai perkara ini.
"Terdapat lebih 20,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh masa di UK dan ini menimbulkan rasa tidak senang Kerajaan British," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi lima hari ke negara itu di sini semalam.
Buat masa ini, amalan di kalangan negara anggota Komanwel adalah tidak mengenakan visa lawatan sosial ke atas warganegara anggota.
Kebiasaannya tempoh lawatan yang dibenarkan adalah antara tiga hingga enam bulan dengan kebenaran lawatan dilulus serta-merta di pintu masuk imigresen.
Muhyiddin memberitahu, UK telah meletakkan Malaysia antara negara yang berkemungkinan dikenakan sekatan visa jika angka tersebut terus meningkat.
"Jika ini berlaku ia akan memberi tindak balas kepada negara Eropah lain yang akan mengenakan peraturan yang sama kepada warga Malaysia yang datang melawat," jelasnya.
Beliau memberitahu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Abdul Aziz Mohammed turut memberi penjelasan kepada Mandleson bahawa kerajaan memandang berat tentang perkara itu dan akan mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan ia dapat dibendung. - Utusan
No comments:
Post a Comment