12 January 2010

Kapal selam kedua dijangka tiba Jun

KOTA KINABALU 12 Jan. - Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak, dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar dekat sini pada pertengahan tahun ini.

Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Rosland Omar, berkata kapal selam jenis Scorpene itu sedang melalui latihan kemahiran bersama tentera laut Sepanyol sebelum dijadual belayar pulang ke tanah air sekitar April.

"Jadi masuk bulan Jun, kita akan mempunyai kapal selam kedua di pangkalan Teluk Sepanggar ini,” katanya kepada media selepas sambutan Hari Kualiti Markas Wilayah Laut 2 di pangkalan tersebut, hari ini.

Kapal selam Malaysia pertama, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR), tiba di perairan Malaysia pada awal September tahun lepas, setelah mengharungi 55 hari pelayaran dari tempat ianya dibina di Toulon, Perancis.

Ia ditempatkan di pangkalan Teluk Sepanggar sejak 17 September. - Bernama

No comments:

Post a Comment