KOTA BHARU 19 Jan. - Pemuda UMNO Kelantan menggesa Senator Ahmad Rusli Iberahim melepaskan jawatan selaku Ahli Dewan Negara kerana bertindak menyaman pihak istana dan kerajaan negeri berhubung penarikan balik darjah kebesaran.
Ketuanya, Anuar Safian menyifatkan, selaku seorang pemimpin dalam parti yang menerajui negeri dan dicalonkan ke kedudukan itu, ia akan memberi gambaran tidak baik terhadap institusi berkenaan dan juga kepada kerajaan.
Beliau memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Rusli sepatutnya memberi peluang kepada orang lain yang dapat menunjukkan taat setia kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Awal bulan ini, Ahmad Rusli memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk semakan kehakiman tentang pelucutan gelaran 'Datuk' dan pelantikan Jaksa Pendamai.
Ahmad Rusli turut menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias sebagai responden dan ia dijangka didengar pada 1 Mac ini.
Dalam warta kerajaan bertarikh 20 Oktober lalu, Aiseri memaklumkan, Pemangku Raja bersetuju menarik balik tauliah Ahli Darjah Kebesaran Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K) dan Ahli Yang Kelima Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (A.S.K) serta pelantikan Jaksa Pendamai yang dikurniakan sebelum ini, berkuat kuasa mulai 29 September 2009.
Menurut Anuar, dengan sikap yang ditunjukkan, Ahmad Rusli perlu berundur dan pemimpin negeri juga perlu bersikap tegas kerana ia memalukan kerajaan negeri apatah lagi turut mengheret istana.
"Bagi Pemuda UMNO, sebagai rakyat Kelantan yang cintakan kedamaian, adalah tidak elok jika kita meludah ke dalam pinggan yang kita makan dan menggigit jari yang menyuap.
"Ia merupakan suatu tindakan sembah derhaka yang boleh memberikan contoh yang tidak baik selaku Ahli Dewan Negara," ujarnya. - Utusan
No comments:
Post a Comment