TUARAN 12 Jan. - Kira-kira 8,000 remaja berdepan tindakan undang- undang ekoran kegagalan mereka mengikuti siri pertama Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata, setakat ini hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu sudah memberi surat tunjuk sebab menyatakan punca kegagalan mereka hadir ke latihan berkenaan.
"Mereka yang sudah memberi alasan itu antaranya tidak menerima surat panggilan, masalah kesihatan dan pelbagai sebab lain termasuk meminta pengecualian dan penangguhan.
"Bagi mereka yang tidak mempunyai alasan kukuh, kita akan kenakan tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kem PLKN Di Bawah Bayu dekat sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, tarikh akhir bagi kumpulan pertama pelatih PLKN tahun ini mendaftar diri di kem masing-masing adalah esok.
Katanya, bakal pelatih yang sengaja tidak mendaftarkan diri akan dikenakan hukuman mengikut Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang dipinda pada 1 November lalu.
Jelasnya, hukuman itu pertama kali akan dilaksanakan tahun ini dan mereka yang bersalah selepas menjalani proses mahkamah perlu melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam.
"Hukuman akan diputuskan oleh mahkamah dan selepas itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memastikan bentuk khidmat yang bagaimana perlu dilakukan," katanya.
Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan pelatih PLKN pada tahun ini ialah 120,000 orang merangkumi tiga peringkat pengambilan bermula dari Januari, Mac dan Jun ini.
Menurutnya, jumlah pengambilan kali ini kurang berbeza pada tahun lalu iaitu seramai 240,000 pelatih disebabkan oleh beberapa faktor.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan melakukan pelancaran penerangan Konsep 1Malaysia di Kem PLKN di Kuala Kangsar, Perak dalam usaha mengukuh lagi integrasi.
Pelancaran konsep tersebut, kata Abdul Hadi, akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kem berkenaan dipilih sebagai perintis.
Tambahnya, pelancaran tersebut bukan dilakukan setelah berlakunya beberapa insiden membakar gereja kebelakangan ini, tetapi memang sudah dalam perancangan. - utusan
No comments:
Post a Comment