16 February 2009

"Saya mangsa gambar separuh bogel"

PETALING JAYA: "Saya mangsa dalam kejadian ini." Demikian reaksi Elizabeth Wong, salah seorang Exco Kerajaan Selangor, yang gambar berkeadaan bogelnya kini disebarkan menerusi internet dan MMS.


Dalam kenyataan satu muka, yang dikeluarkan sebentar tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjang itu berkata, di sebalik 'krisis ini' beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat negeri Selangor.


Kata Wong, penyebaran dan penerbitan foto atau video yang dimaksudkan itu merupakan "serangan dengki" ke atas personaliti beliau.

"Saya dimaklumkan bahawa beberapa orang sedang mencuba untuk menyebarkan foto atau video yang menunjukkan saya sedang tidur dalam keadaan separuh bogel dan juga dalam keadaan intim.


"Penyebaran dan penerbitan foto-foto atau video sedemikian merupakan serangan bersifat jahat ke atas personaliti saya.


"Saya adalah mangsa dalam kejadian ini," kata wakil rakyat berusia 37 itu, yang masih belum berumah tangga dalam kenyataan berkenaan.


Kata Wong, semalam beliau telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut.


"Saya memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka.


"Oleh itu, saya tidak akan membuat spekulasi secara terbuka mereka yang bertanggungjawab ke atas pencerobohan privasi saya," katanya.


Pada sidang media pukul 3 petang tadi, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan satu laporan mengenainya telah dibuat tetapi polis masih menyiasat isu tersebut.


Kata beliau, polis belum menerima kewujudan gambar-gambar sedemikian dan mahu mereka yang memilikinya agar menyerahkan kepada pihaknya.


Wong, yang juga Pengerusi Pelancongan, Pengguna dan Alam Sekitar Selangor menambah, buat masa sekarang beliau akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya kepada rakyat Selangor.


"Saya menerima banyak sokongan datripada penyokong, rakan, sahabat dan penduduk di bahagian saya.


"Saya ingin mengucapkan terimas kasih kepada keprihatinan, sokongan dan galakkan mereka.


"Anggota keluarga saya di belakang saya. Saya merayu kepada media agar memberikan ruang kepada saya dan anggota keluarga saya dalam menghadapi cabaran besar ini," kata wakil rakyat penggal pertama itu.


Sebelum menyertai politik Wong merupakan aktivis pertubuhan bukan kerajaan khususnya Suaram. - Mstar

No comments:

Post a Comment