ALOR STAR, 15 Feb (Hrkh) -Pemuda PAS mempertikaikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selepas mengumumkan 7 April sebagai tarikh mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak; dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.
Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata pihaknya mempertikaikan tarikh itu kerana tempoh bagi mengadakan pilihan raya itu dianggap terlalu lama setelah kedua-dua kerusi kosong pada 9 Feb lepas.
Katanya ia seolah-olah memberi laluan kepada perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac depan.
"Mengapa SPR dalam isu-isu seperti ini mengikut arah dan telunjuk pimpinan Umno?," katanya kepada media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas Pusat di sini semalam.
Sementara itu, Salahuddin turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda PAS pusat dalam pemilihan parti itu pada Jun depan kerana memberi laluan kepada generasi pelapis.
"Saya sudah bersama parti ini selama 28 tahun dan sudah enam tahun memegang jawatan Ketua Pemuda PAS," katanya.
Selain itu faktor umur turut menyebabkan keputusan berkenaan dan dengan pengunduran itu juga, beliau tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan tertinggi dalam parti itu, katanya. - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment